Saturday, March 26, 2011

Nuklear atau tidak?

MUNGKIN ramai masih memperkatakan tentang sumber tenaga baru, nuklear yang kemungkinan akan dibina di negara ini. Ramai yang tidak setuju lebih-lebih lagi ketika melihat Jepun bertungkus lumus mengawal salah satu daripada berpuluh reaktor nuklear di Stesen Nuklear Fukushima Daiichi yang bermasalah ekoran kejadian gempa bumi pada 11 Mac lalu.

Yang membimbangkan ialah kesan radiasi di kawasan sekitar ekoran kebocoran reaktor nuklear yang rosak akibat gempa bumi itu.

Itu merupakan persoalan utama mereka. Apa akan jadi jika salah reaktor nuklear yang bakal didirikan di negara ini rosak atau bocor? Adakah kita mampu menangani kejadian yang serupa sama seperti Jepun? Ramai yang was-was.

Itu persoalan rakyat negara ini.

Nuklear merupakan tenaga alternatif bagi menggantikan sumber tenaga konvensional seperti arang batu dan gas dalam membekalkan elektrik sekarang.

Bagi penulis, nuklear memang merupakan tenaga alternatif yang bersih dan boleh menggantikan bekalan tenaga konvensional yang turut menghasilkan gas karbon lebih tinggi.

Penulis tidak mengiyakan dan juga tidak membangkang usaha membangunkan reaktor nuklear di sini. Untuk membangunkannya, kerajaan perlu memerhatikan dari segenap sudut dan penyelidikan terperinci dan mendalam perlu dilakukan.

Apa pun, teknologi nuklear untuk menjana elektrik masa kini sudah lebih selamat dan mapan berbanding dahulu.

Sebagai rekod, Stesen Nuklear Fukushima Daiichi dibina pada tahun 1967 dan mula ditauliah untuk penggunaan pada tahun 1971.

Kita belum mempunyai reaktor nuklear, dan jika dibina, penulis pasti semua teknologi dan reka bentuk baru yang lebih selamat, lebih-lebih lagi selepas kejadian di Fukushima Daiichi akan diambil kira.

Kajian yang dijalankan pada tahun 1970 hingga 1992 mendapati loji nuklear hanya mencatatkan 31 kemalangan berbanding arang batu (6,400), gas asli (1,200) dan hidro (4,000). Ini bermakna ia lebih selamat.

Dan kita juga tidak mempunyai banyak sumber yang berkualiti untuk menjana tenaga.

Malaysia mempunyai tiupan angin yang rendah disebabkan kita terletak di kawasan doldrum khatulistiwa yang bermakna kawasan angin yang tenang berhampiran khatulistiwa.

Manakala sinaran matahari kita juga merupakan gred kedua. Walaupun kita mungkin dapat mencari lokasi dalam memperoleh sumber terbaik sinaran matahari pun, peralatan dan kemudahan untuk menjana tenaga solar ini terlalu tinggi.

Selain itu, sumber biomass kita juga terlalu lembap dan memerlukan kos yang tinggi untuk mengeringkannya.

Ombak dan pasang surut di lautan negara ini juga tidak memberi pulangan kepada kos untuk menjana tenaga elektrik dan hanya aliran sungai yang mempunyai kekuatan untuk menggantikan penggunaan bahan api fosil.

Jadi nuklear merupakan sumber bersih yang mampu digunakan menggantikan penggunaan bahan api fosil melainkan pembaca mahu Malaysia terus menghasilkan gas karbon yang mencemarkan alam sekitar?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: