Saturday, March 26, 2011

Kitaran radiasi akibat nuklear


SEORANG mangsa bom atom di Hiroshima yang terbakar kulit akibat radiasi berkongsi pengalamannya.


SEPERTI yang dijelaskan Profesor Fizik Perubatan, Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ng Kwan-Hoong minggu lalu, antara bahan radioaktif yang mungkin dibebaskan dalam bencana nuklear seperti di Fukushima, Jepun adalah iodin radioaktif atau Iodine-131 (I-131).

"Iodin radioaktif mempunyai separuh hayat (half-life) lapan hari dan boleh diserap badan manusia melalui makanan dan air yang tercemar. Bahan ini akan terkumpul di dalam kelenjar tiroid kerana diserap seperti iodin biasa," jelasnya.

Tambahnya, penguraian iodin radioaktif selepas diserap kelenjar tiroid akan membebaskan radiasi yang boleh merosakkan struktur tisu seterusnya meningkatkan risiko kanser tiroid dalam jangka panjang.

Kebimbangan penyerapan partikel radioaktif ke dalam rantaian makanan manusia akhirnya menjadi kenyataan minggu ini selepas paras iodin radioaktif yang tinggi dikesan dalam sayur bayam, susu lembu dan bekalan air paip di Jepun sejak 23 Mac lalu, sehingga beratus kilometer dari tapak bencana.

Pihak berkuasa Jepun juga telah memulakan pemantauan terhadap pencemaran bahan radioaktif dalam tanah, air laut dan udara sekitar loji nuklear berkenaan bagi menilai kesannya ke atas produk pertanian dan perikanan di negara itu.

Australia, Kanada dan Singapura pula bertindak menghentikan import makanan dari Jepun bermula 24 Mac lalu melibatkan produk rumpai laut, makanan laut, susu, produk tenusu, buah-buahan segar dan sayur-sayuran.

Walaupun produk import sedemikian boleh dipantau dan disekat jika perlu, persoalan utama yang timbul kini adalah bagaimana pula produk mentah atau sumber hidup seperti burung, hasil laut dan haiwan yang berhijrah dipantau dan disekat?

Kebimbangan berlakunya pencemaran radioaktif terutamanya dalam air laut sekitar Fukushima menimbulkan tanda tanya sama ada hidupan laut yang tinggal atau berhijrah dari situ boleh menyebarkan bahan radioaktif ke seluruh pelusuk dunia.

Jika iodin radioaktif mencemari hasil laut atau mana-mana sumber makanan lain dan kemudian dijamah pula penduduk di negara lain, adakah bahan radioaktif itu akan mendedahkan mereka kepada jumlah radiasi berbahaya atau boleh dikira selamat selepas tempoh tertentu?

Hakikatnya, kesan pencemaran bahan radioaktif pada permukaan badan (luaran) boleh dibersihkan dan kesan radisinya juga lebih mudah dirawat berbanding bahan radioaktif yang telah memasuki badan (ditelan).

Bahan radioaktif yang menyerap ke dalam sumber air atau makanan boleh menyerap ke dalam sel badan selepas dimakan dan lebih sukar dirawat.

Gejala sindrom atau keracunan radiasi yang timbul adalah berbeza mengikut dos radiasi. Dalam dos rendah sama ada untuk jangka pendek atau panjang, gejala seperti mual dan muntah menjadi petanda awal yang menunjukkan kesan radiasi ke atas sistem penghadaman badan.

Ini mungkin dituruti gejala lain seperti bacaan sel darah putih yang menurun, jangkitan kuman dan pendarahan yang boleh dibantu melalui pemindahan darah dan pemberian antibiotik.

Pendedahan kepada dos tinggi pula hampir pasti memberi kesan mendadak terutamanya kepada sistem saraf dan boleh membawa kepada kematian.

Kebiasaannya, mereka yang terdedah kepada dos yang tinggi terdiri daripada mereka yang bekerja di tempat bencana seperti dua pekerja pembaikan di loji nuklear Fukushima yang tercedera pada 24 Mac lalu.

Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA) memaklumkan kedua-duanya mengalami kesan terbakar pada bahagian kaki akibat pendedahan langsung kepada radiasi sinaran beta dan kini menerima rawatan di hospital.

Pendedahan bahan radioaktif pada kulit boleh menyebabkan ruam dan kemerahan tetapi dalam dos tinggi akan membawa kepada keguguran rambut, kerosakan kelenjar peluh, pigmentasi, ulser dan fibrosis (parut).

Pendedahan berpanjangan kepada dos tertentu juga meningkatkan risiko kanser serta kerosakan genetik terutamanya terhadap sel pembiakan.

Rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang pertanyaan dan kebimbangan mengenai kebarangkalian pencemaran bahan radioaktif boleh merujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) melalui emel MNR-Customer@aelb. gov. my atau di talian 03-89225888 dan 019-2807869.

AELB juga menawarkan perkhidmatan mengesan pencemaran radioaktif secara percuma kepada orang ramai dari pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari di ibu pejabat AELB, Batu 24, Jalan Dengkil, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: