Sunday, March 13, 2011

Maya lepas geram di Jepun




Meskipun sibuk dengan jadual seni yang padat, aktres Maya Karin tetap mencuri masa untuk terbang ke negara matahari terbit pada akhir Januari lalu. Namun, Maya tidak keseorangan sebaliknya bersama teman baiknya, Jeslina Hashim dan suaminya.

Maya berkata, Jeslina dan suaminya merancang bercuti ke Hakuba, Nagano yang terkenal dengan lokasi permainan ski. Oleh kerana, lama tidak bermain ski dan kerinduan terhadap Jeslina, Maya tidak berfikir panjang untuk terbang ke Jepun dan berada di sana selama 10 hari.

“Kebetulan pada akhir Januari hingga awal Februari lalu, saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran atau komitmen berkaitan kerja dan Jeslina menawarkan untuk bercuti bersamanya.

“Lagipun saya sudah lama tidak berjumpa Jeslina, ditambah lokasi percutian itu benar-benar menarik perhatian saya kerana terkenal dengan lokasi permainan ski.

"Saya sudah lama tidak bermain ski, jadi peluang yang ada saya guna sebaik mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.

Maya berkata, dari Tokyo, mereka perlu menaiki kereta api bawah tanah untuk ke Hakuba dan menyewa sebuah villa di sana.

“Saya banyak menghabiskan masa bermain ski, kadang-kadang sehingga empat ke lima jam. Boleh dikatakan macam melepas geram kerana saya puas dan lupa benda lain.

“Oleh kerana teruja, saya memberanikan diri meluncur dari bukit yang curam, akibat masih belum cekap, akhirnya saya tidak dapat mengimbangi badan dan jatuh tergolek sehingga ke bawah.

“Ketika itu, badan memang terasa sakit, tetapi saya tidak serik dan terus bermain ski. Bagi saya, selain kepuasan, bermain ski baik untuk kesihatan.

“Sejak remaja, bapa saya sudah mula mengajar saya bermain ski. Saya nak kata mahir bermain ski itu bolehlah. Kebanyakan peluang bermain ski lebih banyak di atas air berbanding atas salji,” katanya berhasrat kembali ke Jepun hujung tahun ini.



Simpati nasib Jepun

Bencana alam menimpa Jepun turut menarik perhatian Maya kerana dia baru sahaja pulang dari sana.

Walaupun negara berkenaan mengalami kemusnahan teruk akibat gempa bumi dan tsunami, ia tidak sedikit pun tidak mematahkan hasrat wanita berusia 31 tahun itu untuk kembali ke sana.

“Saya percaya Jepun akan segera pulih dari bencana ini kerana mereka membuat persediaan menghadapi gempa dan banjir. Saya berharap Jepun akan pulih menjelang hujung tahun ini dan bencana yang menimpa Jepun tidak mematahkan hasrat saya untuk kembali ke Hakuba,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: