Wednesday, March 16, 2011

Majlis keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional ditubuhkan


Mohamed khaled Nordin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Alayudin Che Hassan (kanan) dengan Ghauth Jasmon di Universiti Malaya, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Mac - Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional akan ditubuhkan tahun ini bagi memantap dan meningkatkan usaha dalam menerapkan aspek keusahawanan di kalangan penuntut di sektor pengajian tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, majlis tersebut bakal ditadbir oleh sebuah lembaga yang akan dipengerusikan sendiri olehnya bagi meneliti dasar dan pendekatan terbaik untuk menjayakan pembangunan keusahawan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, penubuhan itu penting untuk melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran serta memiliki daya keusahawanan yang mampu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Ini supaya apabila mereka menamatkan pengajian nanti, mereka mampu menjadi pelajar yang bukan sahaja berdikari dan boleh menghadapi cabaran dan peralihan khususnya dalam menjayakan ekonomi negara berasaskan inovasi.

"Cabaran dan perubahan yang berlaku kepada ekonomi dunia pada abad ke-21 memerlukan kita untuk bertindak pantas dan meletakkan produktiviti, inovasi dan kreativiti sebagai tonggak sasaran.

"Justeru kewujudan masyarakat yang mempunyai nilai, kualiti dan daya usahawan yang tinggi akan dapat memastikan peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dapat dicapai dengan jayanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gerak Usahawan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2011 di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Pada majlis itu satu memorandum perjanjian (MoA) antara kementerian, Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti-Universiti Malaysia (MAKMUM) dan Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (PUSMAL) dengan penyedia latihan keusahawanan turut diadakan bagi melatih dan memberi bimbingan dalam bidang keusahawanan kepada lulusan IPT.

Mohamed Khaled berkata, pihak IPT juga perlu memberi penekanan kepada pendidikan keusahawanan dalam usaha menarik minat mahasiswa menyertai bidang usahawan, menyediakan peluang serta mengekalkan mereka dalam bidang tersebut.

Menurutnya, program seperti Gerak Usahawan bukan sahaja berkemampuan melahirkan usahawan berjaya malah membantu membangunkan satu landskap keusahawan yang kondusif di negara ini.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan amat menggalakkan setiap IPT membangunkan Pusat Keusahawanan yang bukan sahaja berperanan merancang, menyelaras dan memantau program tetapi juga menyediakan usahawan berpengetahuan.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, kementerian akan meningkatkan jam kredit bagi subjek Bahasa Inggeris di IPT awam dalam usaha memastikan graduan memperkasa penguasaan bahasa tersebut.

Penambahbaikan dalam aspek seperti komunikasi dalam bahasa tersebut kata beliau adalah secara berterusan bermula tahun pertama pengajian demi memastikan kredibiliti dan kebolehpasaran graduan.

Justeru beliau menasihatkan mahasiswa agar mengambil peluang mendalami bahasa Inggeris untuk mempertingkatkan skil komunikasi masing-masing tanpa perlu terbeban dengan pembelajaran dalam bidang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: