Wednesday, March 16, 2011

Anugerah Citra Wangsa meriah


KAMAL Nasharuddin Mustapha (lima dari kiri) bergambar dengan para penerima anugerah di Malam Anugerah Citra Wangsa 2011 di Uniten, Bangi baru-baru ini.


MALAM Anugerah Citra Wangsa 2011 Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi, Selangor berlangsung meriah baru-baru ini.

Malam bertema merah putih itu menjadi medan amal apabila Tabung Semurni Kasih Kilauan Permata dilancarkan.

Malam Anugerah Citra Wangsa adalah medan untuk mahasiswa bersantai dalam suasana lebih elegan, mewah dan eksklusif.

Pada majlis itu, tetamu universiti dan pelajar tampil penuh bergaya.

Lebih 100 jemputan memenuhi Galeri Pentadbiran Uniten dan lebih meriah dengan kehadiran tetamu istimewa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha.

Melangkah ke dewan yang biasanya menjadi tempat pameran, lagu Uniten berkumandang sebelum tarian hip hop pembukaan dipersembahkan oleh sekumpulan pelajar universiti itu.

Ini mungkin saat yang paling ditunggu bagi tetamu yang menyaksikan kehebatan persembahan pelajar.

Ramai yang mengambil kesempatan ini bergambar semasa persembahan berlangsung. Tetapi yang pasti, dengan dekorasi dewan bertemakan hitam putih, ia mula menghangatkan suasana majlis malam itu.

Sambil menikmati hidangan makan malam yang baru dihidangkan, tetamu kemudiannya dihiburkan dengan persembahan sepuluh peserta pertandingan akhir Suara Sensasi.

Malam Anugerah Citra Wangsa 2011 membuktikan kegigihan dan semangat kerjasama serta kemahiran dalam berorganisasi oleh Persatuan Pelajar Kelompok Amanah terserlah apabila mutu penganjuran serta sambutan program yang begitu mengagumkan.

Pengarah programnya, Mohd Nuredlee Mohd Kamal Ghazale berkata, malam anugerah ini diadakan bagi menghargai jasa bakti yang dicurahkan pelajar dalam menjayakan aktiviti Persatuan Pelajar Kelompok Amanah.

"Kemampuan seseorang mahasiswa yang berjaya adalah bertunjangkan keupayaan dan aktiviti kehidupan mereka semasa berada di kampus," ujarnya.

Beliau berkata, dalam meniti arus kemajuan, perubahan pesat dalam pembangunan di sekeliling memerlukan mahasiswa untuk terus belajar dan meningkatkan ilmu pengetahuan sebagai persediaan menghadapi cabaran termasuk penganjuran program seumpama ini.

Tambahnya, keterampilan diri, kemahiran insaniah dan keupayaan bersosial kebiasaannya diperoleh semasa penglibatan pelbagai aktiviti di alam kampus di samping kecemerlangan akademik sentiasa diutamakan.

"Setiap mahasiswa perlulah terus merebut peluang yang ada sebagai wadah untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri," katanya.

Hadir sama Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar Uniten, Dr. Khairul Salleh dan Pengetua Kolej Amanah, Dr. Mardian Shah Omar.

Majlis telah diselang-selikan dengan beberapa persembahan menarik serta penyampaian beberapa anugerah antaranya Anugerah Citra Wangsa Ahli Jawatankuasa Terbaik, Anugerah Citra Wangsa Projek Terbaik, Anugerah Citra Wangsa MT Terbaik, Anugerah Citra Wangsa Khas Presiden, Anugerah Citra Wangsa Khas Felo.

Selain itu, Anugerah Citra Wangsa Kakitangan Popular dan Anugerah Citra Wangsa Felo Popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: