![]() |
| Zahida Zarik Khan (tengah) bersama ahli jawatan kuasa Pergerakan Puteri UMNO Pandan. |
Beijing, ibu negara China, bandar kedua terbesar yang menempatkan lebih 19 juta penduduk Kotanya yang cantik dan bersih menggamit panorama indah seolah-olah lukisan di atas kanvas.
Seperti Malaysia, jalan-jalannya juga sesak dengan kenderaan yang bertali-arus terutama pada waktu puncak iaitu di sebelah pagi dan petang.
Di Beijing, pelancong Muslim tidak sukar untuk mencari restoran dan makanan halal. Dianggarkan lebih 100 restoran halal boleh didapati di bandar raya itu yang menghidangkan pelbagai jenis makanan tradisi masyarakat cina.
Kebanyakannya sayur-sayuran. Menu utama adalah telur dadar dan sesekali menjamah ikan dan daging. Sudah tentu teh Cina menjadi satu minuman 'wajib'.
Tempat sembahyang untuk pelancong Muslim turut disediakan di restoran-restoran besar di sekitar Beijing. Masjid-masjid dibina di jalan utama yang boleh dihubungi dengan kenderaan.
Produk kesihatan
Program lawatan antarabangsa Biro Kesihatan, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, memberi kesempatan berkunjung ke sebuah pusat kesihatan China dan produk teh yang mampu meningkatkan kadar metabolisme kesihatan dan kecantikan diri.
Program lawatan tujuh hari enam malam itu diketuai Exconya, Zahida Zarik Khan bersama 30 barisan kepimpinan ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Pandan.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Beijing China mengambil masa tujuh jam.
Di Beijing, agenda pertama program lawatan melawat Beijing Bao Shu Tang Sci-tech Pharmaceutical Co. LTD iaitu sebuah syarikat kesihatan terkemuka China yang menjual produk ubat terkenal Bao Fu Ling.
Kandungan khasiat ubat itu terbukti dapat menyembuhkan kulit terbakar dan kegatalan pada badan.
Demonstrasi memegang besi panas oleh salah seorang penyelia pusat itu sememangnya menakjubkan. Tangan yang melecur akibat memegang besi panas kembali pulih selepas disapu krim Bao Fu Ling.
Manakala demonstrasi produk kesihatan lain, 'she Xiang Zhuang Gu Gao atau koyok yang berfungsi melawan radang, menghilangkan sakit otot dan sendi. Selain itu, ubat Huai Jiao Wan pula berfungsi membersihkan usus dan melancarkan perjalanan angin dalam badan.
Teh
Agenda lawatan hari pertama di sebelah petang diteruskan dengan melawat kedai Dr. Tea. Terdapat pelbagai teh antaranya Jasmine tea, Pure tea dan Oolong tea. Pure tea merupakan teh terbaik yang berasal dari China selatan. Bagi mereka yang mengalami masalah sukar tidur cuba teh ini selepas makan tengah hari atau makan malam, teh itu dapat bertahan tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk. Serbuk pure tea yang belum digunakan boleh bertahan selamanya. Teh Jasmine pula amat bagus untuk penglihatan dan memori. Ia juga sesuai untuk kecantikan dan diminum secara 'slurp'.
Pada sebelah malamnya, peserta rombongan dibawa melihat pertunjukan akrobatik dan diberi penerangan oleh wakil agensi Bank Rakyat Travel Sdn. Bhd. mengenai cuaca musim sejuk di Beijing.
Persembahan pertunjukan akrobatik dimulakan pada pukul 8 malam dengan aksi bermain gelung rotan, lompatan, imbangan badan dan yang paling ekstrem adalah pertunjukan tujuh buah motosikal di dalam bola besi besar.
Kristal
Kunjungan ke kedai kristal menyaksikan kristal yang berwarna merah seberat 120 kilogram dan terbesar di China. Mengikut kepercayaan penduduk di situ, sesiapa yang mengusap bola tersebut sebanyak sekali akan menjadi kaya.
Pengalaman tidak berhenti di situ kerana rombongan dapat menyaksikan sendiri bagaimana proses membuat jed di sebuah kedai berdekatan.
Seperti pelancong-pelancong lain, pengalaman melawat Tembok Besar pasti tidak dapat dilupakan.
Tembok besar yang telah bertahan selama 2000 tahun dan panjangnya melebihi 50 000 kilometer adalah sebuah sejarah yang besar dan panjang.
Ia telah menjadi simbol negara China yang telah tertanam dalam diri setiap rakyatnya. Terletak 45 kilometer di Barat Laut Beijing,
Lawatan ke Dataran Tian An Men dan Kota Larangan menyaksikan satu lagi keindahan China. Luas ialah 72 hektar dan tempat tersebut mempunyai dua pintu utama.
Sambil itu, pengunjung dapat menjamu makan tengah hari dan menunaikan solat di Masjid Tiannya yang berusia 800 tahun sebelum mengunjungi Kota Barang Kemas Penaja Olimpik. Rombongan diperkenalkan dengan sejenis batu di mana di dalamnya terdapat blue sapphire. Ia digunakan untuk membuat barang perhiasan wanita seperti loket, gelang, cincin dan lain-lain.
Rombongan berpeluang melawat Stadium Sarang Burung yang digunakan pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Selepas penat berjalan seharian, ramai yang tidak melepaskan peluang mengurut kaki di Pusat Perubatan Tradisional China dan Pusat Perubatan Herba.
Perjalanan seterusnya ke Istana Musim Panas mengambil masa lebih sejam kerana kesesakan di sepanjang jalan menuju ke destinasi. Mujurlah pemandu pelancong memenuhi masa terluang dengan menceritakan serba sedikit sejarah Istana Musim Panas.
Istana Musim Panas merupakan sebuah taman bagi maharaja untuk beristirehat pada musim panas. Ia turut dikenali sebagai Yihe Yuan yang bermaksud Taman Usia Panjang Yang Terpelihara.
Zoo Beijing
Di Zoo Beijing, pengalaman melihat habitat panda yang sedang aktif pada musim sejuk di Panda House dan menjamu selera di Restoran Halal sememangnya tidak dapat dilupakan.
Rombongan tidak ketinggalan mengunjungi Sunny Market dan Silk Market membeli cenderamata untuk teman-teman dan keluarga sebelum berangkat pulang meninggalkan Beijing yang meninggalkan seribu satu kenangan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: