Wednesday, March 2, 2011

Kehadiran 'orang baru'


Kehadiran 'orang baru' sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin.


RAMAI orang berfikir menjadi ibu bapa merupakan peralihan hidup paling ketara dalam kitaran hidup berkeluarga (Pittman, Wright dan Llyod, 1989).

Pengorganisasian semula banyak aspek keibubapaan adalah diperlukan dan peristiwa tersebut mungkin mendatangkan ganjaran serta tekanan (Belsky, Lang dan Rovine, 1985).

Segelintir ibu bapa mendapat kepuasan apabila menerima kehadiran 'orang baru' untuk disayangi dan dapat memerhatikan perkembangan 'ahli baru' tersebut.

Namun, menjaga bayi dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu atau suami dan bapa, akan mendatangkan tekanan. Bahkan sehingga boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti komunikasi antara pasangan dengan keluarga dan kawan-kawan.

Oleh itu, peranan sebagai 'ibu' dan 'ayah' perlu dirunding bersama-sama. Contohnya, apabila pasangan berada dalam jaringan sosial yang tidak mempunyai anak, mereka berkemungkinan kehilangan kawan dan perlu mencari kawan-kawan yang baru.

Mereka juga berkemungkinan akan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan ahli keluarga luas mereka. Menjadi seorang ibu bapa baru memerlukan banyak perubahan dan adaptasi dalam semua aspek kehidupan, termasuklah daripada segi kewangan, aktiviti sosial, seks dan kebiasaan mereka seperti makan dan tidur (Brooks, 1991).

Perubahan peranan keluarga

Peranan keluarga mengalami perubahan yang pesat dalam masa 40 tahun kebelakangan ini. Pada tahun 1960-an, keluarga nuklear yang mempunyai ibu bapa dan dua anak dianggap sebagai norma masyrakat.

Peranan telah dinyatakan dengan jelasnya, iaitu kebanyakan bapa merupakan sumber kewangan dan ibu sebagai penjaga anak dan keluarga.

Kehidupan telah berubah dengan pesatnya. Kebanyakan keluarga mempunyai ibu bapa yang bekerja dan berkongsi sumber pendapatan dan menjalankan tanggungjawab rumah tangga bersama-sama.

Namun begitu, majoriti tanggungjawab untuk melakukan kerja rumah dan penjagaan anak masih terpikul di bahu wanita, tidak kira sama ada wanita itu bekerja atau tidak.

Namun tidak dinafikan, kaum bapa pada hari ini telah sama-sama campur tangan dalam urusan kehidupan anak-anak dan mereka turut menyumbang melakukan kerja rumah. Malah golongan bapa turut melibatkan diri dengan urusan persekolahan anak, bermain, penjagaan anak dan aktiviti lain.

Bagi ibu bapa yang memiliki kerjaya, persoalan tentang siapa yang mengambil tanggungjawab untuk penjagaan anak dan kerja rumah adalah berbeza.

Hal ini akan mendatangkan tekanan jika kurangnya sokongan keluarga dan kekurangan sumber bagi mengimbangkan peranan yang ditanggung.

Sesetengah keluarga berupaya merancang masa kerja yang fleksibel untuk berkongsi tanggungjawab kerja rumah dan memberi peluang kepada ibu dan bapa menyempurnakan peranan masing-masing.

Pasangan lain pula mengadaptasi cara yang lain, seperti bekerja dari rumah dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

l Petikan daripada buku Menyambut Zuriat: Pendekatan Kaunseling Keibubapaan terbitan Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: