Wednesday, March 16, 2011

D’lloyd janji yang terbaik


Sejak kali terakhir menjejakkan kaki di Malaysia 10 tahun lalu, kumpulan D’lloyd, yang terkenal dengan lagu ‘tangkap leleh’ tidak pernah melupakan negara ini.

Bagi kumpulan dari Indonesia itu, Malaysia bagaikan rumah kedua mereka. Buktinya lagu, Semalam di Malaysia mempunyai nostalgia tersendiri, malah sangat bermakna bagi dua peneraju utama D’lloyd, Bartje Van Houten (gitaris) dan Syamsuar Hahim atau Sam (vokalis).

Lebih bermakna, mereka akan kembali beraksi menerusi konsert ‘D’lloyd Semalam di Malaysia’ di Istana Budaya (IB) pada 6 Mei hingga 8 Mei.

Tidak menyangka masih ramai peminat di negara ini, D’lloyd, berjanji akan mengadakan persembahan yang sebaik mungkin malah akan berusaha mengembalikan nostalgia ketika zaman kegemilangan mereka dahulu.

“Setelah 10 tahun, kami sangka orang Malaysia tidak mengingati kami lagi. Rupa-rupanya, lagu kami masih dimainkan di corong radio.

“Kami sangat terharu dan sayu dengan sambutan peminat di Malaysia walaupun sudah lama tidak tampil dengan album baru,” kata Bartje ketika sidang media yang berlangsung di IB.

Sementara itu, Sam yang menitiskan air mata kegembiraan berkata, kumpulan mereka bertuah kerana berpeluang mengadakan persembahan di pentas berprestij di Malaysia.

“Saya menangis bukan kerana sedih, tetapi terharu kerana tahun ini kami kembali ke Malaysia dan membuat persembahan di IB.

“Tidak ramai penyanyi punya peluang sebegini dan kami menganggapnya sebagai anugerah. Pastinya kami akan mengembalikan nostalgia peminat D’lloyd di Malaysia di konsert itu kelak,” katanya dalam nada sebak.

Sejak muncul pada era 70-an, kumpulan D’lloyd menghasilkan lebih 100 album. Lagu mereka seperti Cinta Hampa, Keagungan Tuhan, Tak Mungkin dan Oh Di Mana mencipta populariti di Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Bersama barisan terkini seperti Yuyun (flute), Khairul (dram), Candra Chasmala (keyboard) dan Tooto (bass), Konsert D’lloyd Semalam di Malaysia akan menghidangkan 20 lagu popular.

Selain itu, seniman terkenal, Datuk Ahmad Jais turut berkongsi pentas dan akan mendendangkan lima lagu popular.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: