Tuesday, March 15, 2011

Cari pengganti

  • Foto

  • Foto

Ella tidak berputus asa untuk didik bakat baru teruskan perjuangan rock wanita

SABAN hari, ada saja nama baru muncul di persada seni tanah air. Sama ada dalam dunia muzik mahupun lakonan, dari satu sudut, kehadiran bakat baru tentu saja merancakkan lagi industri seni negara. Dengan bantuan dan sokongan media massa pula, termasuk media baru hari ini, golongan pelapis ini dilihat gigih mencari tapak dalam dunia hiburan tempatan.
Bagaimanapun, wajah lama yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, pada masa yang sama terus saja bertahan. Bakat dan kemahiran dimiliki mereka membolehkan artis lebih senior ini sama-sama merancakkan dunia seni. Bahkan, mereka yang benar-benar meninggalkan impak pula sentiasa dihormati, seterusnya dianggap legenda dalam bidang masing-masing.Sedangkan, sebahagian bakat baru yang hadir, tidak mampu bertahan selama itu. Keazaman yang tertanam dalam diri mereka cuma hangat seketika.

Jika pada awal kemunculan, pelbagai cita-cita dimaklumkan kepada peminat, termasuk ingin menggantikan artis lama, namun yang berlaku pula nampaknya cukup berbeza. Tatkala artis senior terus bertahan, nama mereka pula yang tiba-tiba lenyap. Nampak kelakar, namun situasi itu punya musibahnya jika dibiarkan berpanjangan. Apakah pada akhirnya nanti, tiada lagi artis yang benar-benar mampu kekal lama di negara ini?

Namun, apa juga keadaannya, ratu rock negara, Ella, masih berharap dan enggan menyerah kalah dalam mencari waris yang boleh meneruskan perjuangannya menggemilangkan kembali era rock wanita.

Kata wanita popular ini, impiannya untuk melihat generasi baru mengambil alih, seterusnya menyambung perjuangan muzik rock yang sudah didukung olehnya hampir tiga dekad lama, tetap ada.
“Ella sebenarnya teringin sekali untuk mencari protege yang dapat mengganti Ella sebagai penyanyi rock wanita. Ella lihat generasi baru hari ini semakin berbakat dan memang boleh diketengahkan.

“Namun begitu, sejak dulu juga Ella perhatikan, kita mempunyai ramai penyanyi wanita yang berbakat tetapi tiba-tiba terus hilang. Ia sangat mengecewakan. Sedangkan, Ella sendiri meminati ramai penyanyi baru hari ini, cuma buat masa ini Ella belum dapat lihat mereka yang betul-betul bersedia menggantikan tempat Ella,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Gadis Semasa, di ibu kota, baru-baru ini.

Katanya, memang ada program televisyen yang membolehkan seseorang artis mendidik bakat baru sebagai penyanyi pelapis, seperti Mentor. Malah, dia sendiri pernah ditawarkan untuk menjayakan program berkenaan.

“Sebelum ini Ella ada menerima tawaran untuk menyertai program Mentor. Tetapi, memandangkan Ella sudah ada perancangan lain, iaitu menyertai Festival Rock di Moscow pada Mei depan, Ella terpaksa tolak tawaran itu dengan baik.

“Ella sedar, tanggungjawab berkenaan amat besar dan memerlukan komitmen yang tinggi. Mentor perlu meluangkan banyak masa bersama protege. Jadi takkan Ella mahu tinggalkan protege keseorangan tanpa bimbingan ketika ke Moscow nanti.

“Kalau nak jadi Mentor, Ella kena pastikan Ella mempunyai banyak masa untuk membimbing mereka. Ella tidak mahu mencari bakat yang tangkap muat saja, ataupun sekadar mahu memenuhi tawaran," katanya memberikan penjelasan.
Bagi penyanyi Sembilu ini, suatu hari nanti akan tiba juga masanya dia mempunyai protege sendiri, berikutan kewujudan ramai bakat baru yang mampu dididik.

"Tunggu sajalah, bila tiba masanya memang Ella ada perancangan untuk mencari protege sendiri. Lebih daripada itu, Ella nak cari yang terbaik, bukan untuk diri Ella, tetapi untuk industri,” katanya yang inginkan seorang bakat yang lengkap, iaitu mampu menyanyi, mencipta lagu, malah menari dengan baik.

Kongsi pentas dengan artis rock dunia

BERKAT kredibilitinya yang masih utuh dalam industri seni, Ella sekali ditawarkan untuk menyertai Festival Rock di Moscow pada Mei ini.

“Memang betul, buat masa ini Ella masih lagi menunggu kata putus daripada pihak penganjur dari luar negara, yang mengundang Ella untuk menyertai Festival Rock di Moscow.

“Jika jadi, tahun ini adalah tahun kedua Ella akan beraksi di pentas yang sama pernah dijayakan oleh rocker terkenal, Rolling Stone. Sebelum ini Ella belum pernah dengar ada artis kita yang pernah mengadakan persembahan di sana.

“Konsert itu juga akan dijayakan ramai artis rock dunia, yang akan berkampung di sana. Setiap artis akan diberikan masa yang agak panjang untuk mengadakan persembahan, dan mereka harus membawa lagu sendiri,” katanya yang masih mencari lagu sesuai untuk dipersembahkan di ibu kota Russia nanti.

Sudah tentu bukan kerja yang mudah untuk memilih lagu terbaik, kerana peminat sendiri sedar, sejak pembabitan dirinya dalam industri muzik, dengan kemunculan pertamanya menerusi kumpulan Ella & The Boys sekitar 80-an, Ella sudah tampil bersama kira-kira 30 album.

Ella juga akan muncul bersama album terbaru sekitar Mei atau Jun ini.
“Kali ini Ella akan menggunakan ramai khidmat komposer daripada kalangan artis muda yang berbakat untuk dimuatkan ke dalam album Ella.

Antaranya seperti Meet Uncle Hussain, SevenCollar T-Shirt, Aizat dan beberapa nama lagi. Ia akan diterbitkan syarikat rakaman Warner Music.

“Ella menerima khidmat mereka kerana ingin sama-sama membantu antara satu sama lain. Kita berada di dalam industri yang sama dan masing-masing sangat memerlukan demi mencipta kejayaan. Lebih-lebih lagi, lagu yang dihasilkan generasi baru ini lebih mengikut cita rasa masa kini. Setidak-tidaknya juga ia dapat membakar semangat mereka untuk berkarya dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Ella, album berkenaan kini sudah 90 peratus siap dan dianggapnya sebagai produk yang mampu memenuhi cita rasa peminat segenap peringkat usia.

Sementara itu, menyentuh kehidupan solonya ketika ini, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 44 mengaku, biarpun masih bersendiri tanpa teman, hidupnya tidak pernah kosong. Malah, hari-hari wanita ini sentiasa diisi dengan aktiviti kerjaya seni.

“Jiwa Ella tidak kosong. Buat masa ini Ella masih menumpukan kepada pembangunan kerjaya, malah tawaran mengadakan persembahan masih banyak diterima.

“Mengenai teman hidup pula, ia terlalu peribadi dan insya-Allah Ella sendiri akan maklumkan kepada semua sekiranya sudah sampai masanya. Namun buat waktu ini Ella tidak ada tarikhnya lagi,” katanya mengulas ringkas.

Album:
1985: The Battle Of The Bands 1 (Ella & The Boys)
1986: The Battle Of The Bands 2 (Ella & The Boys)
1986: Ella & The Boys 1
1987: Ella & The Boys 2
1988: Pengemis Cinta
1989: Puteri Kota
1989: Sembilu (dipasarkan ke Indonesia)
1990: Identiti
1990: Unggul
1991: Mendung Tidak Bererti Hujan (duet bersama Deddy Dorres, dipasarkan ke Indonesia)
1991: Kesal
1991: Ella Mood (album video pertama di Malaysia)
1992: 30110
1993: Ella 'Sebuah Rockumentari' (album video kedua Ella)
1994: Ella USA
1995: 8494 (kompilasi)
1996: Demi (kompilasi)
1997: Jalan Ke Sisi Mu
1998: Standing In The Eyes Of The World (album Sukan Komanwel)
1999: El
2000: Baldu Biru (kompilasi bersama Awie)
2000: Diva Metal - Ella
2001: Ilham Bicara
2003: Simbiosis
2005: A Journey Beyond (kompilasi)
2005: Ratu Rock (kompilasi)
2006: Urban Strike (album penghargaan Ratu Rock)
2007: Rama Rama
2007: Kasih (album Kompilasi Ella)
2007: Rama Rama Edisi Kedua

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: