Saturday, March 12, 2011

Cacat kerana sawan


Kasih sayang Kamariah terhadap Intan tidak pernah berbelah bahagi.


TIADA siapa tahu bagaimana pilu dan hancurnya hati seorang ibu apabila anaknya yang dilahirkan normal dan sihat, kini menjadi cacat.

Begitupun, hak mereka untuk diterus disayangi dan diberi perhatian secukupnya tidak harus diketepikan kerana anak adalah amanah Tuhan yang tidak boleh diambil mudah.

Yang penting, segala ketentuan Ilahi perlu diterima dengan hati terbuka dan tabah menempuhnya.

Memang berat mata memandang apatah lagi berat bahu yang memikul. Kamariah Md. Nor, 54, tidak pernah menyangka kegembiraan menyambut 'orang baru' 28 tahun lalu tidak berpanjangan apabila terpaksa menerima hakikat anaknya, Nurul Haida Radzuan menjadi cacat akibat diserang sawan ketika berumur tiga bulan.

Kini, Kamariah yang tidak bekerja hanya mampu memendam hiba yang tidak berkesudahan setiap kali menatap kesengsaraan Nurul Haida atau lebih manja dipanggil Intan.

Baru-baru ini, ketika penulis berkesempatan meninjau keadaan mereka dua beranak, Intan dilihat hanya mampu berbaring dengan kedua kakinya membengkok.

Menurut Kamariah, anak keduanya itu tidak mampu menguruskan diri sendiri setelah disahkan oleh doktor otaknya tidak lagi berkembang.

Kini segala-galanya diuruskan oleh Kamariah termasuk menyuap makanan atau minuman dan membersihkan diri.

Kadangkala kedengaran bunyi dengusan dan rengekan apabila ada sesuatu yang tidak kena malah Kamariah sendiri kadang-kadang buntu apabila anaknya berkelakuan pelik kerana tidak tahui apa yang dirasai dan dimahukan oleh anaknya ketika itu.

Kamariah menceritakan penderitaan Intan bermula ketika diserang sawan sewaktu berusia tiga bulan. Bermula daripada saat itu, Intan membesar tidak seperti kanak-kanak lain selain kerap diserang sawan.

''Doktor mengesahkan otak Intan tidak berkembang dan disebabkan itulah Intan tidak boleh bergerak dan bercakap.

''Kini segala keperluan Intan seperti makan, minum dan pakai diuruskan oleh saya kerana Intan memang tidak boleh menguruskan dirinya sendiri.

''Bagaimanapun, saya menerima keadaan ini dengan reda dan tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku,'' ujarnya sambil air mata bergenang ketika ditemui di rumahnya di Hulu Langat, Selangor.

Walaupun begitu, Kamariah amat bersyukur kerana masih lagi mempunyai seorang anak yang kini merupakan tempat dia dan Intan bergantung hidup.

Menurut anak kelahiran Hulu Langat itu lagi, selain diuji dengan anak cacat, dia juga terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya dimadukan selain menghidap penyakit darah tinggi dan gout.

Jelas Kamariah, sejak suaminya kahwin lain empat tahun dahulu, dia jarang balik rumah.

Kalau ada pun katanya, hanya sekali-sekala dan kini semua tanggungjawab digalas sepenuhnya oleh Khairul Anuar, anak sulungnya yang berusia 30 tahun bagi mencari sumber pendapatan.

Tambahnya, walaupun Khairul Anuar hanya bekerja sebagai pemandu lori, segala kelengkapan Intan seperti lampin pakai buang, nestum, susu dan milo dapat disediakan setiap bulan.

Pada masa sama, Intan juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk sepanjang hayat sejak dua tahun lalu.

Jelas Kamariah lagi, dia dan anak-anaknya bernasib baik kerana tinggal di rumah peninggalan arwah ibunya.

Sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat untuk berteduh.

Berbicara lanjut menurut Kamariah, Intan sudah lama tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kerana selain susah untuk menguruskannya, mereka juga tidak mempunyai kenderaan.

Katanya, sewaktu mula-mula Intan diserang sawan pelbagai ikhtiar dibuat termasuk berubat secara tradisional dan moden untuk membolehkan Intan kembali pulih. Namun sehingga kini keadaannya masih tidak berubah.

Bagaimanapun, hari ini Kamariah meluahkan kesyukuran kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib dirinya sekeluarga termasuk adik-beradik, sanak-saudara dan juga sahabat-handai.

Kini apa yang dirisaukan Kamariah ialah sekiranya terjadi sesuatu kepada dirinya, siapa yang hendak menjaga Intan. Mengenangkan itu dia hanya berserah segala-galanya kepada Tuhan.

Jika ada pihak yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan membantu meringankan beban Kamariah, mereka boleh menghubungi Kamariah di talian 012-3489340 atau Khairul Anuar 012-2752780.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: