Saturday, March 26, 2011

Busana ringkas tetapi elegan

RATU SEHARI...baju pengantin potongan leher tinggi yang  diminati ramai suatu ketika dulu.
RATU SEHARI...baju pengantin potongan leher tinggi yang diminati ramai suatu ketika dulu.

PERALIHAN zaman dan pengaruh moden yang kian menular dalam budaya masyarakat hari ini turut memberi kesan kepada fesyen pakaian pengantin.

Dulu, persalinan daripada songket menjadi pilihan pasangan mempelai untuk digayakan pada hari persandingan mereka. Namun kini, rekaan glamor, mewah dan anggun antara ciri utama yang menjadi pilihan pasangan raja sehari.


Fesyen gaun kembang, kebaya pendek, berkorset dan baju labuh antara rekaan yang kini kian diminati masyarakat kerana keistimewaannya yang tersendiri.


  • Foto

    FESYEN TRADISIONAL...fesyen kebaya songket bunga tabur mempunyai peminatnya sendiri.

  • Foto

    MODEN...rekaan baju pengantin menarik untuk mereka yang berani mencuba.

  • Foto

    MENAWAN...rekaan ringkas tetapi pemilihan rona merah terang menjadikan baju pengantin tampak elegan.

  • Foto

    SOPAN...sulaman kerawang dan manik menarik yang menyerlahkan lagi rekaan.

Pemilik Jez Wedding & Craft, Zuryda Ahsan berkata, kebanyakan pasangan pengantin hari ini memilih untuk tampil dengan fesyen moden kontemporari seperti baju labuh ringkas tetapi masih menyerlahkan gaya elegan.


Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelanggan, fesyen kebaya tradisional daripada fabrik songket memang kurang digemari kerana mungkin disebabkan rekaan terhad serta fabrik yang tebal.


Katanya, aliran gaya fesyen pengantin hari ini menyaksikan ramai pasangan raja sehari memilih rekaan moden yang ringkas, namun masih menyerlahkan aura glamor pengantin."Rekaan baju pengantin tidak perlu terlalu berlebihan kerana apa yang penting, busana itu dapat menyerlahkan aura pasangan raja sehari.


"Tidak dapat dinafikan, masih ada yang berpegang teguh menyarungkan pakaian tradisional pada hari bersejarah itu tetapi kini sudah tidak ramai menggemarinya.Zuryda berkata, pengantin juga perlu mengutamakan pemilihan fabrik kerana ia faktor utama penentu keselesaan dan gaya.


"Berbeza dengan butik pengantin lain, butik Jezz Wedding & Craft menampilkan pelbagai rekaan baju pengantin menggunakan fabrik sifon, sutera, renda dan sutera shangtung yang ternyata lebih menarik serta memberi keselesaan kepada pemakai," katanya.


Mendapat sokongan penuh daripada suami (Eddy Zain), Zuryda sentiasa berusaha untuk memberi lebih kelainan pada rekaan, perincian daripada manik, kristal Swarovski serta batuan Korea bagi menyerlahkan lagi busana raja sehari berkenaan.


Untuk menjadikan pengantin serasi dengan pilihan pakaian yang disediakan, Zuryda sering memberi inspirasi moden dan kontemporari supaya mampu memenuhi kehendak orang ramai.


Gabungan rekaan baju Melayu tradisional dan Barat pula direka berdasarkan aliran fesyen semasa yang bersesuaian dengan peredaran zaman.


"Memang diakui ramai, pasangan yang memilih pakej yang menyediakan persalinan baju pengantin sedia dipakai, namun jika mahu rekaan eksklusif, pasangan juga boleh membuat tempahan," katanya.


Tidak lari daripada skop perniagaan butik andaman, butik ini turut menawarkan apa saja yang diperlukan bakal pengantin. Busana perkahwinan, pelamin, jurugambar, solekan, hantaran sehingga kepada kelengkapan perkahwinan lain, semuanya ada mengikut pakej atau bajet pengantin.


Selain busana pengantin, Zuryda akui solekan harus sesuai dengan busana dan paling penting, ia tidak terlalu tebal sehingga menyakitkan mata memandang.


"Solekan dan busana perlu bersesuaian kerana ia tumpuan utama dalam setiap majlis perkahwinan.


"Jadi, pastikan pengantin memilih busana yang sesuai dengan solekan dan sebaiknya, cuba gaya solekan dan baju sebelum majlis," katanya yang akan berada di gerai bernombor lapan pada Pameran Pengantin Malaysia 2011 di ruang legar PWTC pada 1 hingga 3 April depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: