Tuesday, March 22, 2011

Bank Islam lancar kempen Debit = Myvi



Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berhasrat untuk menambah bilangan pemegang kad debitnya, Kad Debit-i Visa Bank Islam kepada 500,000 pemegang kad menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Perbankan Konsumer, Khairul Kamarudin berkata, Bank Islam kini mempunyai kira-kira 28,000 pemegang kad debit itu sejak diperkenalkan tiga minggu lalu.

“Kami menerima sambutan hangat kepada produk Kad Debit-i Visa Bank Islam yang diperkenalkan sejak tiga minggu lalu, dengan permohonan 1,500 sehingga 2,000 kad sehari.

“Kini, rakyat Malaysia sudah ramai yang sedar mengenai kemudahan menggunakan kad debit sama ada untuk membeli-belah, mengisi minyak, menambah nilai prabayar atau mengeluarkan tunai,” katanya semasa pelancaran kempen ‘Debit=Myvi’ di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengurus Visa Malaysia, Stuart Tomlinson.

Khairul berkata, seiring dengan peningkatan permintaan terhadap Kad Debit-i Visa Bank Islam, mereka memperkenalkan kempen ‘Debit=Myvi’ yang berlangsung bermula 21 Mac lalu sehingga 20 September 2011.

“Kami melancarkan kempen ‘Debit=Myvi’ untuk menggalakkan ahli kad kami menggunakan kad Debit Visa bagi pembelian dan transaksi harian, ia membolehkan mereka mengawal kadar perbelanjaan dan mengurangkan risiko akibat membawa terlalu banyak wang tunai.

“Selain itu, kami juga ingin memberi penghargaan kepada pemegang kad kami yang terus menerus menggunakan kad debit untuk kegunaan harian mereka,” katanya.

Pemegang Kad Debit-i Visa Bank Islam berpeluang memenangi enam kereta Perodua Myvi dan hadiah tunai mingguan dengan hanya melakukan transaksi runcit serendah RM10 di mana-mana cawangan runcit yang memaparkan logo Visa.

Menurut Khairul, bilangan pemegang kad mesin wang automatik (ATM) Bank Islam setakat ini ialah 2.5 juta dan 70 peratus daripadanya merupakan pelanggan aktif.

Sehingga kini, Bank Islam mempunyai 500,000 pemegang kad kredit dan berhasrat untuk menambah lagi 50,000 pemegang kad kredit tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: