Friday, March 4, 2011

Amy Mastura tidak popular lagi?


PENANGGAL merupakan telemovie terbaru lakonan Amy Mastura.


AMY Mastura mula dikenali ramai dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan nyanyian Asia Bagus yang mencungkil bakat-bakat penyanyi Asia yang diadakan di Jepun pada tahun 1994.

Biarpun lebih awal menceburi bidang nyanyian dengan tampil bersama album sulungnya berjudul Amy Mastura pada 1994, tetapi hari ini kariernya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini misalnya, lebih banyak berlakon filem iaitu sebanyak 12 buah filem berbanding tujuh buah album sepanjang karier seninya.

Mula berlakon filem menerusi judul Impian pada 1996, Amy dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon filem berbanding medium-medium lain termasuklah drama mahupun telemovie.

Bagaimanapun, kebelakangan ini populariti isteri Alvin Tham Suffian itu dalam bidang perfileman dikatakan tidak segah sewaktu zaman kemuncaknya pada tahun 1990-an.

Apatah lagi, selepas mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua anak, Adriana, 10, dan Adalia, 6, Amy kini lebih banyak mendapat tawaran berlakon drama televisyen (TV) berbanding filem.

Menurut pelakon dan penyanyi berusia 40 tahun ini, dia tidak berasa namanya merudum sebaliknya, terus menerima tawaran berlakon filem mahupun drama TV dan telemovie.

"Saya masih berlakon sama ada filem atau drama TV. Bezanya dulu saya lebih banyak berlakon filem tetapi kini saya meluaskan lagi ke bidang lakonan drama TV dan telemovie yang baru bagi saya.

"Selain itu, dulu semasa aktif berlakon filem, watak-watak yang saya lakonkan lebih kepada dunia remaja yang glamor tetapi sekarang ia bersesuaian dengan usia dan status saya.

"Saya masih lagi mendapat tawaran berlakon, contohnya filem Hooperz, Aku Tak Bodoh dan Damping Malam yang ditayangkan tahun lalu," katanya kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan di sebuah restoran terkemuka itu, Amy memperkenalkan telemovie terbarunya berjudul Penanggal yang telah pun ditayangkan di Astro Ria pukul 9 malam semalam.

Hadir sama pada majlis yang diadakan santai untuk para wartawan hiburan itu ialah pelakon Penanggal yang lalin iaitu Zizan Nin, Sharifah Shahora dan Sharnaaz Ahmad.

Menerusi telemovie seram terbitan Boxlite Film Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Michael Ang itu, Amy melakonkan watak Suri yang menjadi hantu penanggal semata-mata untuk menjadi cantik.

Jelas artis yang berasal dari Ipoh, Perak ini, dia juga tidak berkecil hati apabila popularitinya dikatakan merosot daripada heroin pelakon filem popular kepada pelakon drama TV.

"Saya tidak kecil hati kalau ada orang yang beranggapan populariti saya sudah merosot, sebaliknya saya berasa seronok kerana dapat mencuba bidang lakonan baru seperti drama TV dan telemovie.

"Ini kerana, melalui dua medium lakonan itu saya berpeluang melakonkan lebih banyak watak dan masa penggambarannya juga tidak sepanjang berada di lokasi filem," ujar pemilik nama penuh Amy Mastura Suhaimi ini lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Jawapan Kekasih itu begitu teruja dan sukar melupakan pengalamannya berlakon dalam Penanggal iaitu telemovie seram pertama lakonannya.

Jelasnya, menerusi telemovie yang menjalani penggambarannya di Banting, Selangor itu dia melakonkan watak hantu penanggal yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini.

"Banyak pengalaman baru yang saya lalui sewaktu melakonkan watak Penanggal seperti muka saya dilumurkan dengan madu lebah supaya ia kelihatan seperti darah manusia.

"Sementara jeli pula digunakan bagi menunjukkan jantung manusia dan madu juga dicampurkan dengan kopi Nescafe supaya nampak seperti organ manusia yang pekat kehitam-hitaman.

"Dua bahan itu digunakan supaya saya tidak berasa jijik dan lebih selesa kerana pada masa sama saya boleh memakannya kalau termasuk ke dalam mulut," ceritanya sambil ketawa.

Sepanjang bergelar penyanyi Amy telah menghasilkan tujuh album berjudul Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Sudah sebati

Sementara 12 filem lakonannya pula berjudul Impian (1996), Tragedi Oktober (1996), Puteri Impian (1997), Puteri Impian 2 (1998), Kuala Lumpur Universiti (1999) dan Senario Lagi (2000).

Filem-filem lain lakonannya bertajuk Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Hooperz (2010), Aku Tak Bodoh (2010), Damping Malam (2010) dan Syhh.. Dia Datang (2011).

Sewaktu ditanya tentang bidang nyanyian, Amy berkata dia masih menyanyi dan menerima undangan mengadakan persembahan biarpun sudah dua tahun tidak merakamkan album baru.

"Saya bermula dalam bidang nyanyian dan lebih cenderung sebagai penyanyi. Jadi bidang nyanyian sudah sebati dengan karier seni saya selain bidang lakonan yang menyusul kemudiannya," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Penanggal, Michael Ang berkata, dia menaruh kepercayaan terhadap Amy bukan sahaja kerana bakat lakonannya tetapi komitmen pelakon terbabit.

Katanya, Amy bukan sahaja berdisiplin sewaktu berada di lokasi penggambaran Penanggal tetapi hubungannya dengan para pelakon lain juga akrab dan memudahkan pembikinan telemovie itu.

"Secara keseluruhan sepanjang sembilan hari penggambaran telemovie itu Amy memberi komitmen yang baik, apatah lagi kebanyakkan penggambaran diadakan pada waktu malam.

"Amy bukan sahaja sanggup melakonkan adegan yang memerlukan mukanya ditempel dengan madu dan Nescafe tetapi juga sanggup berendam lama dalam kolam sewaktu di lokasi tersebut.

"Saya dapati Amy juga seorang yang boleh melakonkan sesuatu adegan itu secara spontan selepas saya menyebut 'action' biarpun pada mulanya dia seperti kurang yakin," katanya.

Penanggal mengisahkan tentang Razak (lakonan Zizan Nin, seorang lelaki bisu yang mati pucuk dan telah 10 tahun meninggalkan kampungnya kerana merajuk dengan cemuhan masyarakat di situ.

Tidak lama selepas itu, Razak kembali ke kampungnya bersama seorang isteri yang dikenali sebagai Suri di mana sekali lagi kepulangannya mendapat cemuhan orang-orang kampung.

Cemuhan itu timbul kerana ramai yang tidak percaya lelaki mati pucuk seperti Razak boleh mendapat isteri yang secantik Suri di mana ia turut dicemburi ramai lelaki di kampung itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: