Friday, March 4, 2011

Mimpi Maya

Foto

  • Foto

  • Foto

    ANTARA gambar kenangan ketika bercuti di Jepun.

  • Foto

    MAKAN malam bersama Jeslina dan suaminya (kiri), serta beberapa teman lain.

Beri tumpuan dunia nyanyian selepas cemerlang dalam lakonan

SELEPAS tujuh tahun tidak muncul dengan album, itu bukan alasan mengatakan bahawa kerjaya nyanyian penyanyi bermata cantik, Maya Karin ini sudah berkubur. Malah penantian pelakon, model dan pengacara jelita itu dijangka berakhir sekitar tahun ini.
Pada mulanya lagu Terbang yang dicadangkan untuk dijadikan single pertama. Namun selepas dibincang semula, pihak syarikat pengurusan, Satu Muzik dan Maya sendiri memilih untuk mengetengahkan lagu Mimpimu.Album berkonsep pop itu menggunakan khidmat komposer antaranya seperti Audi Mok dan Azlan Abu Hassan.

“Saya tahu ada yang memandang rendah usaha saya dalam bidang nyanyian. Sejujurnya, sekali sekala, tipulah kalau saya tidak terpengaruh dengan cakap negatif orang yang tidak mahu saya serius sebagai penyanyi. Tapi saya percaya dengan bakat yang ada.

“Ia tidak sesekali akan melunturkan minat saya. Dunia lakonan, saya sudah buktikan kepada diri sendiri hingga sampai ke satu tahap yang saya banggakan. Kini tiba masanya, untuk saya memastikan kerjaya nyanyian pun datang seiring dengan dunia lakonan.

“Saya juga melihat survival diri saya dalam dunia seni dalam jangka masa yang panjang. Ia tidak akan berakhir. Lihat saja bagaimana aktres tersohor dari Indonesia, Christine Hakim yang masih kekal di persada seni dengan prestij di dalam kelasnya yang tersendiri,” kata Maya yang ditemui Hip baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, nama Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 ini, sekali lagi dipilih oleh peminat untuk berada dalam senarai akhir atau Top 5 Pelakon Filem Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010).

Maya berentap dengan empat lagi wajah dan bakat pelapis yang tidak kurang juga hebatnya iaitu Liyana Jasmay, Scha Alyahya, Lisa Surihani dan Diana Danielle.

“Tahun lalu, hanya filem Magika saja dibintangi saya. Watak saya dalam filem itu sebagai Puteri Bunian hanya muncul selama tiga minit, tapi tak sangka peminat masih menyedari kewujudan saya. Terima kasih kepada peminat dan pembaca Berita Harian yang sudi mengundi saya.

“Boleh dikatakan ABPBH 2009 juga menyaksikan senarai pesaing yang sama seperti tahun ini yang mana ia memberi tuah dan rezeki kepada Liyana Jasmay.

“Melihat kepada senarai akhir kategori Pelakon Filem Wanita, saya tidak terlalu mengharap lebih kali ini. Dicalonkan sudah memadai buat saya,” katanya yang menanti filem Cun dan Ombak Rindu ditayangkan pada tahun ini.

Mengembara agenda kemestian

Pertemuan dengan wanita berusia 31 tahun ini juga bertujuan berkongsi gambar percutiannya selama 10 hari ke Jepun akhir Januari lalu. Duta alat solek terkemuka dan juga produk makanan untuk penjagaan kesihatan dalaman ini ke sana tidak keseorangan, sebaliknya atas ajakan teman baiknya, Jeslina Hashim bersama suaminya.

Kalau ada yang masih ingat, Maya pernah bergandingan dengan Jeslina Hashim menerusi filem Seri Dewi Malam. Ketika itu, Maya masih baru dalam dunia seni. Selepas berkahwin, Jeslina memilih untuk tidak lagi aktif dalam dunia seni.

“Saya banyak menghabiskan masa bermain ski di sana di atas salji tebal. Sejak remaja lagi, bapa saya sudah mula mengajar saya bermain ski. Saya nak kata mahir bermain ski itu bolehlah. Kebanyakan peluang bermain ski lebih banyak di atas air berbanding atas salji.

“Dari Tokyo saya ada mengambil kereta api bawah tanah untuk ke Hakuba, Nagano. Hakuba antara lokasi menarik untuk bermain ski. Menghabiskan masa bermain ski atas salji selama empat ke lima jam pun tak kisah. Saya boleh leka bermain ski tanpa memikirkan perkara lain,” katanya yang ketika ini dalam fasa berehat daripada sebarang penggambaran atau komitmen seni.

Agenda bercuti ini boleh dianggap sebagai kemestian dalam diari hidup Maya. Tahun lalu saja, dia bercuti ke Vietnam dan China bersama keluarga tersayang. Pelakon ini juga merancang untuk bercuti ke Peru sambil melawat adik lelakinya yang bekerja di sana.

“Saya memang dibesarkan dalam keluarga yang gemar mengembara. Orang kata waktu bercuti ini seperti mencuri peluang untuk menghirup udara baru. Saya boleh katakan acara kembara dan bercuti ini hadir bersama pakej dua dalam satu.

“Pertamanya, saya dapat melihat dan merasai perkara baru dari sesebuah negara dan keduanya, menghargai waktu senggang sebagai manusia biasa. Bila bercuti, saya hanyalah Maya dan bukan Maya Karin yang dikenali ramai,” katanya yang tidak lepas ditegur rakyat Malaysia yang menghuni atau bercuti di lokasi percutian seperti London dan Vietnam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: