Tuesday, March 15, 2011

Aku, Ana dan Langkawi

Ana Raffali tidak melepaskan peluang memberi rusa makanan.

SAMA ada menaiki bot atau kapal terbang menuju ke Langkawi, satu perkara yang tidak mungkin lekang dari minda kita ialah kisah-kisah lagenda dan kawasan bebas cukainya.

Selesai ke destinasi ‘wajib kunjung’ seperti Kota Mahsuri, Beras Terbakar, Telaga Tujuh dan Tasik Dayang Bunting, bagai menjadi kemestian pengunjung berborong sakan di Pekan Kuah yang dianggap syurga beli-belah.

Namun, kunjungan penulis ke Langkawi baru-baru ini mencetuskan pengalaman baru sekali gus melenyapkan persepsi ‘lama’ penulis terhadap bumi Langkawi.

Tiga hari di Langkawi membuatkan penulis tidak teragak-agak menyatakan Langkawi kini tidak patut disinonimkan dengan sejarah dan barangan bebas cukai itu sahaja.

Ketika perjalanan pulang dari pulau itu, terdetik di hati penulis betapa ruginya pengunjung jika mereka terlepas menikmati alam semulajadi dan melancong secara sihat kerana Langkawi kini layak dikatakan sebagai destinasi pelancongan mesra alam.

Lantas fikiran terimbas kembali keindahan Resort dan Spa ‘Hijau’ Frangipani, nikmat menaiki kereta kabel di Gunung Mat Cincang, keseronokan bermain kenderaan pelbagai permukaan (ATV) di kaki Gunung Raya dan meneroka aktiviti pertanian komersil di Ladang Pusat Latihan, Pemuliharaan dan Agrotek (TRAC), Kampung Rhu.

Hari pertama, apabila diberitahu Editor Majalah Santai, Azlie Halim bahawa Langkawi diangkat sebagai pulau pelancongan di Asia Tenggara yang mempunyai khazanah hutan tertua di dunia, persoalan mengapa program yang diikuti penulis ini dinamakan Santai Green Tourism, langsung terjawab dengan sendirinya.

“Kita tak boleh cipta alam sekitar, kita tak boleh buat hutan. Kalau kita tanam pokok pun mengambil masa yang lama untuk membesar.

“Tapi di Langkawi ada Langkawi Geopark yang berusia 460 juta tahun, pulaunya merangkumi 99 buah pulau,” kata Azlie tentang keunikan destinasi pelancongan di Kedah ini.

Pemandangan indah yang dapat dilihat dari puncak Gunung Mat Cincang.

Langkawi dan sentuhan emosi Ana Raffali

PENGEMBARAAN penulis lebih bermakna apabila Juara Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25), Ana Raffali turut mengikuti program ini.

Kebetulan, penyanyi ini menjadi penghias muka depan majalah Santai edisi pertama pada Disember 2010.

Penulis sempat bertanya kepada Azlie apakah tujuan artis dibawa menyertai program seumpama ini dan jawapannya cukup ringkas: “Mempromosikan destinasi pelancongan harus dilakukan dengan pendekatan kreatif.”

Jadi tidak hairanlah jika elemen hiburan diselitkan, dan awal-awal lagi dia memberitahu semua peserta bahawa dia mahu menjadikan program ini sebagai program percutian santai dan tidak formal.

Ana, yang popular dengan lagu dan karyanya yang meruntun jiwa pula teruja dapat bertemu penduduk Langkawi sambil mengaku kunjungannya ke Langkawi akan diabadikan sebagai memori.

“Sudah lama Ana rancang untuk bercuti. Bila berada di sini Ana rasa sangat tenang,” ucapnya.

Lebih menarik lagi, dia yang gemar menikmati keindahan alam mengakui sempat menyiapkan sebuah lagu ketika dalam perjalanan ke Langkawi.

Nyata, percutian ke pulau ini tidak hanya memberi ruang untuk pengunjung berehat malah mampu memberi inspirasi.

ATV yang mencabar

PENGALAMAN mengendalikan ATV di Kaki Gunung Raya, tidak mungkin dilupakan penulis.

Menunggang ATV, motosikal empat tayar untuk kegunaan lasak sememangnya mencabar namun cukup meriangkan.

Selesai menunggangnya, barulah penulis tahu permainan ekstrem yang semakin menjadi kegilaan ramai ini memerlukan penunggangnya memberi tumpuan terhadap pemanduan di trek yang amat mencabar.

Apa yang pasti, ketika menunggang ATV inilah para peserta dapat melihat keindahan hutan menghijau di kiri-kanan trek yang masih belum dicemari.

Walau pulang dengan kasut dan seluar yang diselaputi tanah selut, tidak sedikit pun timbul kekesalan kerana nikmat bermain ATV mengatasi segala-galanya.

Segar di Ladang TRAC

LADANG TRAC yang terletak di Kampung Tampoi, Tanjung Rhu menjadi destinasi terakhir dikunjungi penulis sebelum bertolak pulang ke ibu kota.

Jus markisa segar menjadi ‘penyambut’ kedatangan penulis dan peserta lain ke situ, sekali gus memberi kesegaran tak terkata.

Di ladang yang dibuka pada 2008 ini juga penulis berpeluang melihat dan mempelajari teknik pertanian komersial seperti membuat baja organik, menternak ikan keli, tilapia dan kaedah menghasilkan makanan kambing.

Selain memberi manfaat kepada penduduk setempat, mereka yang datang ke sini dapat melihat pokok dan buah markisa, pisang bunga yang kulitnya sentiasa hijau, dan mencuba beri rusa makan dan melihat hasil dan aktiviti pertanian yang jarang sekali ditemui di tempat lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: