Wednesday, December 8, 2010

UiTM yakin rangkul 8 emas dalam kejohanan Karisma


Sebahagian atlet dan pegawai kontinjen UiTM Pahang yang diketuai Muhammad Mohktar Samat bersemangat untuk mendapatkan lapan emas pada Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM 2010 di Pusat Sukan Stadium UiTM Shah Alam, Selangor, hujung bulan ini.


MARAN 7 Dis. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang yakin mampu memperoleh emas dalam lapan acara yang dipertandingkan dalam Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM (Karisma) 2010 di Pusat Sukan Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.

Ketua Kontinjen UiTM Pahang, Muhammad Mohktar Samat berkata, acara tersebut adalah bola sepak, badminton, futsal bagi kategori lelaki manakala bola jaring, boling padang, silat, taekwando dan pingpong bagi kategori wanita.

Menurutnya, UiTM Pahang memiliki rekod cemerlang apabila menjuarai acara silat, taekwando dan futsal wanita pada Karisma 2008.

"Prestasi yang ditunjukkan atlet UiTM Pahang sangat membanggakan malah, ramai bakat baru dapat diketengahkan dan akan diasuh agar mereka ini menjadi atlet pelapis negara," katanya.

Seramai 322 atlet dan pegawai kontinjen UiTM Pahang yang menyertai kejohanan itu yang bermula dari 20 hingga 25 Disember ini.

Kira-kira 3,000 atlet dan pegawai dari 15 kampus cawangan UiTM seluruh negara berkampung di Pusat Sukan Stadium Shah Alam bagi menyertai 20 acara yang dipertandingkan dalam kejohanan itu.

Muhammad Mohktar yang juga Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Pahang berkata, seramai 190 atlet lelaki, 90 (wanita) dan 42 pegawai bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Tegasnya, moto atlet UiTM Pahang, Amuk Tok Gajah dan Juara milik kita diharap menjadi pencetus semangat atlet untuk berusaha bersungguh-sungguh menggapai seberapa banyak pingat emas.

Katanya, Karisma ialah Kejohanan Sukan Mahasiswa UiTM yang diadakan secara dwitahunan bagi mencungkil bakat penuntut dalam bidang sukan untuk mewakili universiti dan negara.

"Melalui kejohanan ini, UiTM Pahang berjaya menonjolkan atlet sukan memanah dalam pertandingan antara universiti, Sukan Malaysia (Sukma) dan di peringkat antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: