Monday, December 13, 2010

Tiga tahun tangguh terima lamaran




Tiga tahun menyemai cinta, Rabecca Nur Al-Islam kini sudah benar-benar bersedia menamatkan zaman solonya bersama jejaka pilihan, Nor Azam Datuk Sulaiman,42, seorang duda anak dua.

Tarikh yang dipilih Rabecca ialah pada 14 Januari tahun depan yang juga merupakan tarikh yang agak istimewa kepada kedua-dua bakal mempelai ini.

"Saya membuat pengumuman ini kerana saya sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada dia," ujar Rabecca semasa mengadakan jamuan minum petang bersama media di Butik Harrods, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jumaat lepas.

Menyukai dan menyayangi kanak-kanak dan ingin hidup berkeluarga merupakan faktor lamaran bakal suaminya itu diterima selepas sekian lama.

"Saya terima lamaran dia antaranya kerana sikapnya yang sukakan kanak-kanak. Pada awal perkenalan, dia sudah melamar saya untuk berkahwin, namun ketika itu saya masih baru dalam karier dan juga masih terlalu muda.

"Saya minta tangguh dua tahun dan selepas itu ditambah lagi setahun. Jadi, selepas tahun ketiga, kami berbincang semula dan saya akhirnya bersetuju untuk menerima lamarannya," tutur aktres berusia 24 tahun itu yang kelihatan berseri dalam baju kurung kuning terang pada petang itu.

Tambahnya, tempoh penangguhan tu dimanfaatkan dengan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat dan setelah itu, timbul rasa bersedia untuk bergelar isteri setelah berumur 24 tahun.

Jika dihitung, jurang umur antara Rabecca dan bakal suaminya Azam, sebanyak 18 tahun. Tidak peduli dengan jurang umur tersebut, Rabecca menjawab persoalan itu dengan senyuman.


BAKAL suami tidak menghalang Rabecca untuk terus aktif dalam dunia lakonan yang diceburinya selama ini.


"Saya rasa dia adalah calon terbaik bagi saya. Alhamdulillah, saya bersyukur dipertemukan jodoh bersamanya. Karakternya yang penyayang dan suka ambil berat terhadap anak-anak dan juga saya membuatkan saya terpesona dengan dirinya.

"Apa ada dengan umur, asalkan dia terima saya seadanya dan saya pun begitu jua," bicaranya.

Tidak kisah bergelar ibu kepada tiga anak kelak pada usia muda, anak ketujuh dari lapan beradik itu menyatakan betapa dia gembira dan bersyukur kerana sememangnya keinginan menjadi ibu sudah lama dinantikan.

Tambahan pula, sebelum ini Rabecca sudah mempunyai anak angkat yang telah berumur 3 tahun iaitu Nor Adam Daniel.

"Jadi, tiada masalah untuk saya menjaga anak kerana sebelum ini pun saya sudah punyai Nor Adam Daniel.

"Saya memang sukakan kanak-kanak. Sebenarnya perwatakan saya ini seperti ibu-ibu. Saya suka duduk dan bersembang dengan wanita dan kaum ibu." jelasnya lagi.

Pengumuman yang dibuatnya ini juga telah menjawab kontroversi selama ini yang mengatakan dia menjalinkan hubungan bersama golongan Datuk atau VIP.

"Saya tidak pernah bercinta dengan golongon VIP, VVIP atau Datuk. Cinta saya hanyalah pada insan biasa yang merupakan seorang peguam yang bernama Nor Azam.

"Selama tiga tahun ini, hanya dia seorang sahaja yang bertakhta di hati ini, tiada yang lain," tegasnya.

Ditebak mengapa merahsiakan perhubungan yang telah terjalin selama tiga tahun ini, Rabecca menjawab, dia lebih suka berkeadaan begitu kerana khuatir jika terlalu banyak berbicara mengenainya dan apa yang diperkatakan tidak menjadi pula, ia akan memudaratkan dirinya juga.

"Saya rahsiakan kerana takut kalau terlalu bercerita, takut percintaan yang dijalinkan separuh jalan pula. Jadi biarlah betul-betul bersedia, dan saya umumkannya seperti mana yang saya buat kini," jawabnya yang sememangnya serius dengan perhubungan yang dijalinkan selama ini.

Tatkala berbicara mengenai soal penerimaan anak-anak bakal suami terhadap dirinya, Rabecca menyatakan bahawa kedu-dua orang anak tirinya yang berumur 14 tahun dan 8 tahun itu rapat dengannya.

Tidak ketinggalan juga anak angkat Rabecca sendiri sudah memanggil bakal suaminya itu dengan panggilan 'papa'.

"Penerimaan anak-anak suami, mereka sukakan Becca. Saya seorang yang sporting tetapi dalam masa yang sama saya juga seorang yang tegas. Saya suka melayan budak jadi budak jadi tidak ada masalah tentang perkara itu," tambahnya yang selesa menggelarkan dirinya Becca.


RABECCA mempunyai sebab tersendiri kenapa dia merahsiakan percintaannya bersama Nor Azam daripada pengetahuan umum selama tiga tahun.


Namun begitu, aktres yang sebelum ini turut menimbulkan kontroversi ekoran tampil bergaya seksi masih 'merahsiakan' sesetengah maklumat tentang bakal suaminya itu.

Pada sidang akhbar petang itu, Rabecca sepatutnya turut membawa bakal suaminya itu kerana sebelum ini dia sudah berjanji dengan pihak media akan memujuk Nor Azam untuk datang bersamanya.

Namun, dia sebaliknya sekadar berkata: "Dia peguam, agak sibuk dengan tugasannya."

Rabecca juga tidak mendedahkan foto bakal suaminya itu, biarpun foto lelaki itu dikatakan sudahpun tersebar di Internet sebelum ini. Ini bermakna secara rasminya, dia belum memperkenalkan bakal suaminya itu kepada media.

Malah, dia masih memberikan jawapan yang sama dan agak klise seperti yang telah berkali-kali diutarakannya sebelum ini apabila diminta memberi komen tentang foto dirinya yang tersebar di Internet. Dalam foto itu, Rabecca yang sedang memangku Nor Adam Daniel duduk di samping seorang lelaki yang tidak dikenali yang dipercayai ialah Nor Azam.

"Saya belum lagi lihat foto yang dikatakan tersebar dalam Internet itu. Namun, berkemungkinan lelaki itu ialah antara abang-abang saya kerana saya mempunyai lima orang abang.

"Perhubungan saya dan abang-abang saya memang rapat. Tetapi berkemungkinan lelaki dalam foto tersebut adalah salah seorang daripada mereka," jelasnya.


BERPENGALAMAN menjadi ibu sejak menjadi ibu angkat kepada Nor Adam Daniel tiga tahun lalu.


Kebiasaannya setelah seseorang wanita bergelar isteri, kehormatan suami dan diri sendiri perlu dijaga agar rumah tangga kekal bahagia.

Itulah kata-kata serius daripada Rabecca selepas dirinya bergelar isteri kelak.

Suaminya menyokong seratus peratus kariernya sebagai pelakon sekarang ini. Tidak ada persoalan untuk menghalang Rabecca dari terus melakukan apa yang diminatinya itu.

"Azam menyokong saya seratus peratus. Dia tidak pernah menyekat agar saya berhenti berlakon atau sebagainya. Tetapi, apa yang penting ialah menjaga kehormatan diri, itu sahaja yang dimahukannya daripada diri saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: