|
|
SELEPAS seharian bekerja, anda tentu berasa penat badan dan juga minda. Bagi mengembalikan tenaga, ada warga kota yang suka memanjakan tubuh mereka dengan merendam dalam air panas dan mendapatkan urutan di spa atau pusat urut.
Bagaimanapun, dewasa ini terdapat terlalu banyak pusat-pusat urut tidak bertauliah menyebabkan sukar bagi kita untuk memilih tempat mengurut yang terbaik.
Oleh itu, ramai juga yang beralih kepada 'tukang-tukang urut' elektronik untuk mendapatkan keselesaan badan iaitu membeli kerusi-kerusi urut yang semakin banyak dipasarkan di negara ini dengan pelbagai jenama.
Namun, yang kurang menariknya ialah kerusi-kerusi urut ini kebanyakannya berharga ribuan ringgit, terlalu besar, sukar diubah-ubah tempatnya dan hanya sesuai untuk mengurut dalam keadaan duduk atau melentang.
Bagaimana pula jika dikatakan ada si tukang urut cilik yang boleh membantu membelai badan anda walau di mana sahaja atau dalam keadaan apa anda berada?
Jangan salah sangka pula. Ini kerana si cilik yang penulis maksudkan bukannya anak kecil kita yang diminta memijak belakang badan tetapi ia adalah robot kecil yang mampu mengurut!
Robot-robot kecil si pengurut ini sememangnya banyak dibangunkan di makmal-makmal penyelidikan di seluruh dunia tetapi setakat ini tiada yang dipasarkan secara komersial.
Sebuah robot mengurut dikenali sebagai Tickle misalnya bersaiz sangat kecil tetapi dikatakan mampu memberikan urutan seakan mendapatkan rawatan urutan Sweden di spa? Benarkah? Tidak pasti kerana penulis sendiri belum pernah menguji robot ini.
Robot kecil seperti kereta kebal mainan ini merupakan sebuah kapsul aluminium yang dilengkapi dengan dua pasang tayar berjejari getah seperti tayar kereta kebal yang akan berjalan-jalan di atas badan dan seterusnya memberikan urutan ringan yang menyedapkan.
Robot ini akan merangkak atau bergerak-gerak di atas badan ketika anda meniarap atau berbaring, menggunakan motor berkuasa bateri yang mempunyai sensor tersendiri bagi mengelakkannya terjatuh.
Setiap rodanya digerakkan oleh sebuah motor berasingan dan ini membolehkannya bergerak ke hadapan dan belakang atau kiri kanan dengan mudah.
Pergerakannya menggunakan konsep mudah iaitu apabila sensor mengesan terdapat permukaan badan yang terlalu dalam, ia akan cuba mencari permukaan yang lebih rata dan selamat.
Robot prototaip ini dibangunkan menggunakan program kawalan pintar dengan menggunakan mikro-controller dan pergerakannya mengambil kira semua keadaan.
Tickle model prototype 2 ciptaan Erwin Driessens & Maria Verstappen ini telah memenangi hadiah pertama pada LIFE 2.0, pertandingan antarabangsa mengenai seni dan kehidupan artifisial.
WheeMe
Sementara itu, sebuah lagi robot si tukang urut yang menggunakan konsep yang sama juga telah dicipta oleh DreamBots dengan nama WheeMe.
Robot ini juga menggunakan 'teknologi sensor kecondongan yang unik' untuk membolehkannya bergerak perlahan-lahan di atas badan anda tanpa jatuh atau kehilangan pegangan.
Proses urutan lembut dilakukan oleh keempat-empat roda getah yang terdapat pada robot ini ketika ia bergerak ke seluruh badan.
Menurut DreamBots, walaupun robot itu tidak mampu untuk melakukan urutan tisu yang dalam kerana ia sangat ringan, iaitu 240 gram sahaja, tetapi ia dikatakan mampu memberikan rasa selesa dan seronok kepada orang yang diurutnya.
Robot WheeMe bersaiz tapak tangan, juga kelihatan seperti kereta kebal mainan seperti Tickle .
Dengan teknologi sensor, ia bergerak dengan mudah di belakang anda dan jejari nylon yang terdapat pada rodanya akan memberikan urutan yang mengasyikkan.
WheeMe dijangka akan dipamerkan pada Pameran Elektronik Pengguna di Los Angeles awal bulan depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: