Saturday, December 4, 2010

Rhyncholaeliocattleya Datin Seri Rosmah orkid hibrid baru


ROSMAH Mansor memasak paprik ayam ketika mengetuai rombongan Bakti dan PUSPANITA Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani melawat MAHA 2010 di Serdang, semalam.
Rosmah Mansor melihat hibrid orkid yang diberi nama Rhynchaeliocauleya Datin Seri Rosmah di MAHA 2010, semalam. Di kanan Noh Omar.


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Nama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini diabadikan pada sejenis orkid hibrid baru bergelar Rhyncholaeliocattleya Datin Seri Rosmah pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010.

Pelancaran orkid itu disempurnakan beliau sendiri sempena lawatannya ke pameran tersebut yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Pembiakbakaan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Fadelah Abdul Aziz berkata, orkid hibrid tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu berbau wangi dan bunganya mampu bertahan lama sehingga dua ke tiga minggu.

"Bunganya berukuran 13 sentimeter melintang dan 12 sentimeter menegak dengan petal dan sepalnya berwarna putih keorenan. Bibirnya pula berwarna merah ungu dengan sedikit warna kuning dan oren.

"Purata panjang tangkai bunga adalah 24.2 sentimeter dan menghasilkan dua hingga empat bunga setangkai. Ia telah didaftarkan di The International Registration Authority for Orchid Hybrids, England pada bulan lalu,'' ujarnya.

Rosmah hadir ke pameran itu bagi mengetuai rombongan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Fadelah menambah, penghasilan Rhyncholaeliocattleya Datin Seri Rosmah adalah hasil kacukan induk Cattleya Maxima dan Rhyncholaeliocattleya EZO Robin's Magic.

Sementara itu, Rosmah menghabiskan kira-kira dua jam melawat tapak pameran dan bermesra dengan pengunjung.

Antara yang menarik perhatiannya adalah nangka gergasi yang beratnya mampu mencecah 70 kilogram serta produk makanan kering yang turut dipamerkan di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: