SERDANG - Lazimnya rumpai laut atau agar-agar digunakan sebagai perisa kepada hidangan atau lauk yang dimakan bersama nasi.
Namun dengan konsep gaya amalan hidup sihat yang semakin meningkat, syarikat Fitrah Food Sdn. Bhd. (Fitrah) mengorak langkah melakukan inovasi bagi menghasilkan rumpai laut sebagai elemen utama dalam produk minuman.
Pengarah Urusan Fitrah, Hashim Muhammad berkata, minuman itu berkhasiat kerana ia kaya dengan iodin, vitamin B, C dan asid folik yang baik untuk kesihatan.
"Ia dikeluarkan dalam bentuk minuman tanpa sebarang pengawet bagi mengekalkan nutrien asalnya dan ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga kami terpaksa mengeluarkan produk dalam kuantiti yang banyak bagi menampung permintaan yang tinggi," katanya ketika ditemui pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2010 di sini semalam.
Menurut Hashim, syarikatnya yang ditubuhkan pada tahun 2000 dan beroperasi di Subang Jaya menjalankan kajian mengenai pemprosesan rumpai laut kering untuk pasaran tempatan.
Kesemua bahan mentah tersebut diperoleh daripada pengusaha rumpai laut di kawasan Semporna, Sabah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: