
SAHABAT yang baik akan sentiasa berada di sisi pada saat kita memerlukan. Sebuah persahabatan yang bahagia juga memerlukan jalinan perasaan yang luhur, tulus dan sejati.
Persahabatan yang terjalin dengan tulus dan ikhlas adalah kunci terbaik untuk mengekalkan sesebuah ikatan persahabatan.
Apa yang diperkatakan ini dapat dilihat di dalam satu majlis sambutan hari raya yang diadakan baru-baru ini apabila wakil dari dua buah negara berkumpul bersama.
Persahabatan yang terjalin rapat antara ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi, JuzRide Bikers Malaysia dan Singapura ini membuktikan bahawa tiada jurang dan sengketa antara mereka malah mereka bagaikan sebuah keluarga besar yang aman dan harmoni.
Ternyata keputusan mengadakan sambutan hari raya di Impian Country Resort Hulu Langat, Selangor, berjaya mengeratkan lagi persahabatan sesama mereka.
Bukan itu sahaja, ahli-ahli kelab yang berkampung selama dua hari di Impian Country Resort ternyata gembira terutama bagi ahli-ahli yang datang dari Singapura. Bagi mereka suasana kampung yang ada di situ tidak mungkin didapati di negara mereka.
Impian Country Resort yang berkonsepkan kawasan hutan semula jadi dan mempunyai anak sungai yang mengalir dari kaki bukit turut menyediakan kemudahan chalet, dewan, tempat masak, padang, surau dan tandas awam.
Yang penting, kerjasama yang ditunjukkan setiap ahli kelab dalam menjayakan majlis tersebut seharusnya diberikan pujian. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Masing-masing berjaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan sekali gus menjadikan majlis tersebut yang paling bermakna sepanjang kelab ditubuhkan.
Sementara menunggu majlis yang akan berlangsung pada malamnya, ahli-ahli kelab Juzride Bikerz sempat bersukaneka dan membuat tarian poco-poco.
Majlis tersebut walaupun baru pertama kali diadakan, ia ternyata berjaya kerana selain dihadiri kira-kira 150 orang ahli kelab JuzRide Bikerz, ia turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang lain.
Apa yang penting, jalinan persahabatan antara kedua-dua buah negara ini seharusnya diikuti dan diberi pujian malah diharapkan ia dapat berkekalan sehingga akhir hayat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: