Wednesday, December 1, 2010

Penarik kereta jerat diri sendiri

RAMPAS...Ketua Balai Polis Sri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon menunjukkan kereta curi yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Ketua Balai Polis Sri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon menunjukkan kereta curi yang dirampas daripada suspek.

SERDANG: Tindakan seorang penarik kereta memandu kereta mewah Mitsubishi Lancer Evolution 7 yang dicurinya dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal kenderaan berkenaan menjerat diri apabila dia dicekup polis.

Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an terbabit ditahan sebaik memasuki kereta itu selepas mengunjungi sebuah spa di Dang Wangi, di sini, awal pagi Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 25 November lalu di sebuah rumah di Sri Kembangan.

Katanya, polis menemui kereta itu di tempat letak kereta spa berkenaan.


“Polis menahan suspek ketika dia berada di dalam kereta berkenaan dan pemeriksaan pada tubuh suspek polis menemui beberapa kunci kereta lain dipercayai dicuri suspek.


“Suspek juga dipercayai melakukan jenayah pecah rumah di kawasan berkenaan ekoran penemuan kunci itu,” katanya ketika ditemui.Menurut Abd Razak, suspek menunjukkan polis lokasi kereta curi lain disembunyikan, namun hanya menemui sebuah Toyota Alphard yang dilaporkan dicuri di Kawasan Perindustrian Kuchai Lama, dekat sini.


Beliau berkata, kenderaan lain dipercayai sudah dialihkan rakan suspek yang mengetahui lelaki terbabit dicekup.

Katanya, hasil soal siasat polis kemudian menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun dipercayai rakan jenayahnya di sebuah rumah di Kuchai Lama pada malam suspek ditahan.


Menurutnya, melalui pengakuan suspek, mereka mencuri kenderaan berkenaan selepas mendapat permintaan pembeli sebelum mencuri kenderaan itu di kawasan letak kereta serta rumah yang dipecah masuk.


Razak berkata, suspek juga memiliki rekod jenayah dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.


Katanya, semua suspek kini direman sehingga 5 Disember ini dan disiasat mengikut Seksyen 379 (a) dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: