Tuesday, December 14, 2010

Peluang untuk Petronas di Brunei


NAJIB (dua dari kiri) dan Sultan Hassanal Bolkiah (dua dari kanan) berjalan meninggalkan dewan selepas majlis memeterai perjanjian perkongsian pengeluaran petroleum di Bandar Seri Begawan semalam.


BANDAR SERI BEGAWAN - Petronas berkemungkinan mendapat peluang yang lebih besar pada masa akan datang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan di dua blok kawasan laut dalam Brunei yang kaya dengan rizab gas dan petroleum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini berikutan penglibatan Petronas dalam perjanjian perkongsian pengeluaran (PSA) untuk Blok CA2 dengan Brunei National Petroleum Company Sdn. Bhd. (PetroleumBRUNEI) di sini semalam.

Pemeteraian perjanjian itu dilakukan dalam satu acara tertutup yang diadakan di Dewan Baitul Al-Mesyuarah di Istana Nurul Iman yang turut disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Dalam perjanjian itu, Petronas diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas sementara PetroleumBRUNEI diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Azren Taib.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, Najib berkata, Sultan Hassanal Bolkiah turut mengalu-alukan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua syarikat itu.

"Ke Bawah Duli Tuanku telah menyatakan rasa puas hati dengan segala persefahaman yang dicapai dan ada kemungkinan Petronas dapat diberi peluang yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: