Wednesday, December 15, 2010

Pancaragam PDRM nadi jiwa Alina


BERSAMA anggota dan pegawai Pancaragam PDRM.


BAGI kebanyakan orang, tarikh hari lahir sendiri dan ahli-ahli keluarga tersayang merupakan tarikh istimewa yang perlu diraikan pada setiap tahun sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.

Begitu juga dengan sambutan hari ulang tahun perkahwinan bagi pasangan yang sudah berumahtangga atau sedang hangat bercinta.

Bagi Supritendan Alina Saad, 43, pula, selain daripada tarikh-tarikh tersebut, tanggal 12 September 2010 tidak kurang istimewa kepadanya apabila berpeluang melakarkan sejarah dalam karier sebagai pegawai polis.

Apa tidaknya, pada tarikh tersebut, Alina bertanggungjawab memimpin Pancaragam Pusat PDRM membuat persembahan penuh istiadat di hadapan kira-kira 1,000 tetamu yang hadir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk meraikan majlis perbarisan perpisahan sempena persaraan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang bersara setelah 41 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Persembahan pada hari tersebut amat bermakna bagi Alina dan juga sejarah dalam PDRM kerana pertama kali upacara seumpama itu dipimpin oleh seorang pegawai wanita.

Alina mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM pada 2 Januari tahun lalu kerana menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut semenjak 78 tahun penubuhan Pancaragam Pusat PDRM.

“Saya rasa amat terharu apabila mendapat peluang dan diberi kepercayaan memimpin anggota-anggota saya membuat persembahan di hadapan Tan Sri Musa dan lain-lain pegawai kanan polis pada majlis penuh bersejarah itu.

“Tidak dinafikan perasaan terharu turut terdetik di hati saya semasa menjemput Tan Sri Musa untuk membuat penampilan istimewa memimpin pancaragam menyampaikan lagu ‘Sway’ pada majlis tersebut,” kata Alina memberitahu sebab mengapa tarikh 12 September 2010 dianggap istimewa dalam hidupnya kepada Gaya Polis ketika ditemui di Pulapol baru-baru ini.

Pemilihan Alina sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM memang bertepatan sekali kerana selain mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan muzik, beliau juga mempunyai kelulusan yang sesuai dengan bidang tersebut iaitu Ijazah Sarjana Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain boleh menyanyi, bermain gitar dan piano, Alina juga berkebolehan mencipta lagu. Mulai 25 Mac tahun lalu iaitu bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-202, lagu ciptaannya bertajuk ‘Tegas, Adil dan Berhemah’ dipilih sebagai lagu tema bagi moto PDRM.

Menurut Alina, pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Muzik PDRM adalah ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana memang cita-citanya menyertai PDRM untuk berkhidmat di cawangan berkenaan.

Ditanya mengapa meminati tugas di cawangan ini, beliau berkata, selain minat dalam bidang seni, cawangan Pancaragam Pusat PDRM mempunyai bidang tugas dan sejarah yang tersendiri.

“Pancaragam Pusat PDRM sudah lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1932 hasil cetusan idea J.D Hussey, seorang pegawai Inggeris yang bertugas sebagai Komandan Polis Depot pada masa itu.

“Ketika itu, PDRM masih lagi dikenali sebagai Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,” katanya mengimbas kembali asal usul sejarah penubuhan cawangan tersebut.

Pada peringkat awal, kata Alina, pancaragam ini hanya dianggotai oleh 10 pemuzik yang dipimpin oleh seorang pegawai bernama Chico sebelum tugasnya diambil alih oleh Profesor Gulvest.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Muzik pertama dilantik di cawangan ini ialah Deputi Supritendan (DSP) A.W. Croft, diikuti Alias Arshad, DSP Shamsuddin Ismail, DSP Abu Bakar Long dan Supritendan Mangsor Ibrahim.

Ketika ini, Pancaragam Pusat PDRM diketuai oleh Alina dengan dibantu oleh Timbalannya, DSP Mohamad Rosli Omar; Pengarah Pancaragam Pusat, ASP Norman Mohd. Noor dan Penolong Pengarah Pancaragam Pusat, Inspektor Mohd. Noor Effendy Yusup.

Sepanjang penubuhannya, kata beliau, Pancaragam PDRM telah mencatatkan kejayaan cemerlang apabila banyak kali dijemput untuk membuat persembahan di luar negara.

“Pancaragam Pusat PDRM pernah dijemput melawat United Kingdom selama lima bulan untuk membuat persembahan di hadapan pegawai-pegawai kanan British.

“Kami juga pernah membuat persembahan di Thailand, Vietnam, Brunei, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Australia,” ujarnya.

Menurut Alina, ketika ini, Pancaragam Pusat PDRM di Pulapol mempunyai 130 anggota terdiri daripada empat pegawai dan 126 anggota pangkat rendah.

Selain Pulapol, katanya, Pancaragam Pusat PDRM juga terdapat di Kontinjen Kedah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai 68 anggota, diikuti Sabah dengan 59 anggota.

Mengenai Pancaragam Pusat PDRM, beliau berkata, ia dibahagikan kepada enam kumpulan iaitu ‘Orkestra’, ‘Bagipe’, ‘Drummers’, ‘Kombo’, ‘Quintet’ dan ‘Quartet’.

“Persembahan pancaragam pula dibahagikan kepada dua kategori iaitu dipanggil ‘Brass Band’ jika persembahan diadakan di padang dan ‘Concert Band’ jika persembahan dibuat di dalam dewan.

“Pemilihan anggota bagi pancaragam biasanya diambil di kalangan pelatih baru melalui uji bakat dan biasanya anggota yang benar-benar berminat sahaja akan dipilih. Mereka yang dipilih akan diasah bakatnya selepas itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: