Friday, December 3, 2010

Nubhan Belum Sedia Cipta Lagu Sendiri

PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan mengakui masih belum bersedia untuk mencipta lagu sendiri seperti rakan-rakan artis yang lain.

Katanya, dia sedar perkara tersebut penting bagi meletakkan namanya berada sebaris dengan nama-nama besar seperti Aizat atau Faizal Tahir.

Namun begitu bagi mengatur langkah pertama, anak kelahiran Negeri Sembilan ini sudah bersedia bersaing dalam industri muzik tanah air dengan kemunculan album pertamanya berjudul Langkah… Nubhan.

“Saya akui untuk ke pergi sebaris dengan mereka saya perlu pandai untuk mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini saya masih belum bersedia.

“Sebagai artis yang masih hijau dalam industri ini, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Insya-Allah suatu hari nanti saya akan sampai ke tahap itu. Namun begitu album pertama ini merupakan peringkat permulaan bagi perjalanan seni saya,” ujarnya di Majlis Perlancaran Langkah Nubhan di Borneo Baruk, di sini, Rabu.

Album memuatkan tujuh buah lagu ini merupakan langkah pertama Nubhan bagi menempatkan diri dalam industri muzik tanah air.

“Impian untuk mempunyai sebuah album solo akhirnya terlaksana setelah penantian selama tiga tahun. Bagi saya ini merupakan titik tolak kepada kerjaya saya sebagai seorang artis.

“Album ini membabitkan komposer terkenal tanah air seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul dan komposer baru iaitu 6ixth Sense,” ujarnya.

Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6) ini juga memperjuangkan genre muzik pop bebas yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.

Antara lagu yang terkandung dalam album ini ialah Ada Untuk Mu, On Juwita, Seadanya Aku, Aku Atau Dia, Beri Rasa dan Di Redup Matamu.

Menurut Nubhan pemilihan lagu bagi album ini dibuat mengikut kesesuaian suara dan trend pasaran.

“Kami telah memilih tujuh buah yang terbaik dan sesuai dengan suara saya daripada 45 buah lagu yang diterima.

“Akhirnya tujuh lagu ini dipilih mengikut pendapat sebulat suara,” ujarnya.

Lebih istimewa, sebuah lagu berbahasa Cina turut dimuatkan dalam album tersebut yang dialih bahasa daripada lagu ciptaan Tam Spider berjudul Ai Mei Chou. Ia adalah bertujuan untuk memasuki pasaran pendengar berbangsa Cina.

Album yang dijangka mampu memenuhi citarasa semua pendengar muzik tanah air ini telah berada dipasaran sejak pertengahan bulan Oktober.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: