![]() |
| Seorang peserta MAHA 2010, Wan Izzana (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Chua Tee Yong sambil diperhatikan Mohd. Salleh Ismail semasa pelancaran laman web NFC di Tapak MAEP di Serdang, semalam. |
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Penggunaan teknologi terkini dalam memasarkan produk berasaskan daging mampu meningkatkan penjualan idustri tersebut kerana mempunyai lebih banyak ruang bagi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong berkata, penggunaan teknologi Internet mempunyai manfaat yang besar dalam mempromosikan barangan dan produk tempatan.
Menurutnya, melalui penggunaan teknologi juga dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi dalam meluaskan capaian pasaran untuk industri daging.
"Penggunaan Internet merupakan satu usaha bagi mendekatkan diri dengan pembeli-pembeli bagi memudahkan mereka membeli secara dalam talian.
"Dalam masa yang sama juga dapat mempromosikan produk-produk tempatan bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah menjangkau hingga ke pasaran antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan laman web Gemas Gold Meat pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NCF), Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail.
Laman web tersebut merupakan usaha pengeluar daging lembu halal terkemuka Malaysia, NFC untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna berkaitan maklumat proses penternakan dan pengeluaran daging syarikat itu serta memudahkan pengguna untuk memesan produk syarikat melalui internet.
Tambah Tee Yong, pihak kementerian sangat menyokong inisiatif yang diambil oleh syarikat tempatan untuk meneroka pasaran yang lebih besar dengan menggunakan teknologi moden dalam mempromosikan produk tempatan.
"Kementerian mengharapkan agar penjualan daging lembu dapat dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi Internet dan dalam masa yang sama dapat meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa," ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Salleh berkata, pelancaran produk laman web itu bermatlamat untuk meluaskan tawaran produk syarikat bagi memenuhi permintaan tempatan.
"Melalui laman web tersebut kami berupaya untuk memajukan perniagaan syarikat serta memudahkan pelanggan kami untuk memesan produk melalui talian," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: