KISS...impi watak heroin dalam filem yang lebih mencabar.
WATAKNYA sebagai Eja, remaja kampung yang datang ke bandar dan menjadi artis popular dalam filem Diva arahan Sharad Sharan masih diingati peminat sampai hari ini.
Malah, lakonan berkesan Balkisyh, 24, dalam filem itu turut meraih perhatian ramai, sekali gus tercalon dalam top 5 kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.
Sekalipun tidak menang, nama Balkisyh atau nama sebenarnya Balkisyh Semundur Khan duduk sebaris dengan pemenang kategori itu, Natasha Hudson (filem Chermin) dan Ainul Aishah (filem Nana Tanjung).
Namun, selepas berkahwin dan berstatus ibu, nama pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah yang lebih mesra disapa Kiss seakan menyepi di persada seni tanah air.
Ke mana menghilangnya pelakon berbakat besar berdarah kacukan Arab, Pakistan dan kaum Suluk ini dari dunia glamor?
Justeru, sesi fotografi yang diatur Rap dengan Kiss di Studio Balai Berita, baru-baru ini menyingkap segalanya.
Kiss yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan sendiri mengakui selepas bergelar ibu tidak banyak publisiti mengenai dirinya disiarkan di akhbar mahupun majalah tempatan.
Bukan saja itu, tawaran berlakon juga tidak serancak dulu.
"Tawaran berlakon juga tidak sebanyak dulu. Mungkin, orang di luar sana fikir badan saya sudah gemuk selepas bersalin dan tidak sesuai pegang watak utama dan karakter ditawarkan.
"Sebab itu, saya juga berusaha untuk menurunkan berat badan daripada 49 kilogram kepada 45 kilogram. Sekarang saya perlu turunkan lagi empat kilogram lagi.
"Pada masa sama, saya juga sedar tawaran berlakon kurang kerana perlu bersaing dengan pelakon baru yang bagaikan cendawan tumbuh ketika ini," katanya.
Kiss berkata, kini dia menanti tawaran beraksi di layar perak dengan watak yang mencabar lakonannya.
"Memang saya sudah lama tidak berlakon filem dan ingin kembali aktif sekarang.
"Sebelum ini, saya ada berlakon watak pembantu yang juga ada enam babak dalam filem Dukun, tapi masih belum ditayangkan lagi.
"Saya juga impi watak heroin dalam filem yang bertukar karakter pula selepas ini," katanya.
Adik ipar kepada pengarah terkenal dan produser World Evolution Brains Sdn Bhd, Jurey Latif ini juga tidak ingin bergantung kepada produksi milik keluarga suaminya yang juga penolong penerbit produksi itu, Mohd Aizad Rosli, 27, semata-mata."Kalau ada watak sesuai abang Jurey akan tawarkan pada saya. Ketika produksi buat filem Libas dulu, saya tak dapat berlakon kerana mengandung ketika itu.
"Saya juga tidak ada masalah untuk berlakon dalam produksi lain jika ada kelapangan kerana tidak terikat dengan produksi World Evolution," katanya.
Terbaru, Kiss yang dicungkil bakatnya dalam Pencarian Gadis Metro 2004 ini berlakon watak pembantu dalam telefilem Dimana Isteriku terbitan Global Station.
Dia juga memegang watak utama dalam drama bersiri 13 episod Camping arahan Jet Li.
Kiss juga berlakon dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua terbitan Suhan Movies dan watak pembantu dalam drama bersiri Songkok untuk TV1.
Tidak ketinggalan dalam drama seram Nek Nak, Soraya dan Radio.
Pada sesi fotografi petang itu, Kiss hadir bersama suami dan anaknya, Nur Qalesya, 15 bulan yang tidur di pangkuannya.
Namun, Qalesya bangun ketika fotografi baru dimulakan kerana ingin sama-sama bergambar bersama ibunya. Mujur ada suami yang membantu menjaga Qalesya sehingga sesi fotografi berakhir kira-kira jam 2 petang.
Bercerita soal peribadi, Kiss mengakui mengakui rumah tangga yang dibina bersama suami kini lengkap dengan kehadiran anak pertama itu.
"Terus terang, saya sukar berenggang dengan Qalesya kerana hubungan kami cukup akrab. Maklumlah, dia masih menyusu badan dan saya akan terus menyusukannya selagi dia mahu.
"Qalesya juga senang dijaga dan tidak meragam pada waktu malam. Mungkin kerana dia menyusu badan dan 'melekat' dengan saya ketika tidur.
"Qalesya hanya akan minum susu formula apabila saya keluar bekerja. Saya juga sudah mula beri dia makan makanan pejal seperti nasi dan bubur," katanya.
Sebagai ibu, Kiss mengakui sukar berenggang dengan anaknya itu.
"Saya berasa risau juga hendak tinggalkan Qalesya yang masih kecil di rumah, tapi demi cinta pada karier seni saya terpaksa berjauhan dengannya ketika penggambaran drama di Perlis.
"Mujurlah ada suami dan mak cik yang membantu menjaganya apabila saya bekerja," katanya.
Ditanya sama ada dia tidak kisah jika Qalesya ingin mengikut jejaknya menjadi anak seni, Kiss berkata dia merestui apa saja minat anaknya bila dewasa kelak.
"Saya pernah bawa dia ke lokasi penggambaran dan dia sudah mula menunjukkan minatnya beraksi depan kamera.
"Qalesya juga pernah berlakon dalam telefilem Aku Bukan Rabiatul dengan menjadi anak kepada pelakon Intan Azura.
"Saya juga tidak tentukan masa depannya dan akan sentiasa menyokong minatnya dari belakang. Soal untuk menambahkan anak pula, kami merancang mendapat anak kedua dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.
>PROFIL
NAMA SEBENAR: Balkisyh Semundur Khan
ASAL: Lahad Datu, Sabah
UMUR: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 13 Julai 1986
KERJAYA: Pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Penolong Penerbit World Evolution Brains Sdn Bhd, Mohd Aizad Mohd Rosli, 24
ANAK: Nur Qalesya, 15 bulan
DRAMA: Ada Apa Dengan Pontianak, siri TV Gila-Gila Pengantin, Nek Nak, Cinta Ikon Kerana Seringgit di RTM, Klon Teja
FILEM: Diva, watak pembantu dalam Cinta Fotokopi, Tak Ori Tapi Ok dan Dukun
PENCAPAIAN: Pemenang tempat ketiga Pencarian Gadis Metro 2004 dan top 5 Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-20
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: