Friday, December 3, 2010

Hujan ligat bisnes




BIARPUN diangkat sebagai band indie nombor satu negara, Hujan tetap pemuzik yang sama, tidak seinci pun mereka berubah. Jiwa dan minat mereka masih terletak di landasan yang sama seperti dulu iaitu muzik.

Bermula dengan penubuhan Hujan pada Februari 2006 dan menghadapi pelbagai pahit getir, kini, Hujan yang dianggotai oleh Noh (vokal), Hang Dimas (keyboard) dan Izzat (bass) boleh menuai hasil daripada penat lelah mereka.

Wang bukan lagi masalah utama untuk mereka menggerakkan jentera Hujan. Bagaimanapun menurut Noh, istilah mewah yang diberi kepada mereka terlalu besar kerana hakikat sebenarnya Hujan bukan satu band yang mewah dengan wang ringgit, meskipun baru sahaja dilantik sebagai duta produk perbankan dalam talian untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) selama setahun.

"Bersyukur nama kami semakin besar tetapi untuk kata kami mewah, rasanya belum lagi. Apa yang saya boleh katakan ialah kami kini lebih senang, tidaklah seperti dulu, banyak hal tergendala kerana kesempitan wang.

"Sebenarnya banyak wang kami dilaburkan untuk memajukan Hujan dan diri saya sendiri. Macam saya, banyak menghabiskan wang pada peralatan muzik, Dimas pula pada syarikat kami Morning Rocket dan Izzat pula seorang penyimpan wang yang tegar dalam Amanah Saham Berhad," ujar Noh tentang aliran wang Hujan.

Dimas yang boleh disifatkan pengurus dan pekerja pemasaran band Hujan mengangguk kepala tanda setuju dengan apa yang diluahkan Noh.


HUJAN kini lebih serius dengan masa depan mereka.


Sambil tertawa Dimas berkata: "Kalau kami band yang mewah, awal-awal lagi saya sudah beli kereta mewah tetapi saya masih pemandu setia kereta Kancil."

Tidak layak digelar sifu

Izzat yang merupakan ahli Hujan yang paling baru dan pendiam turut menghembuskan lafaz lega apabila diberi peluang untuk bersama band itu sejak tahun lepas.

"Setakat hari ini, Hujan sentiasa sibuk dengan kerja dan tawaran persembahan. Alhamdulillah sejak bersama Hujan, saya sudah mampu menyimpan duit dan merancang untuk membeli rumah tahun depan sebagai aset," kata gitaris berusia 29 tahun itu.

Tambah Dimas, meskipun kedudukan Hujan semakin selesa, mereka tidak boleh terleka.

Justeru, Hujan menubuhkan Morning Rocket yang merupakan syarikat yang bukan sahaja menerbitkan album Hujan tetapi juga syarikat yang menjana pendapatan tambahan Hujan menerusi penjualan pelbagai barangan Hujan serta artis lain.

"Morning Rocket ditubuhkan pada September lalu. Selain barangan Hujan seperti pakaian, kami juga menjual barangan artis lain seperti Yuna, Pop Shuvit, Seven Collar T-Shirt, DJ Fuzz dan yang akan datang band Pesawat.

"Morning Rocket menjadi hab kepada dunia perniagaan buat Hujan dan artis lain kerana semua barangan yang ada dijual secara talian menerusi laman sesawang www.morningrocket.com.

Respons yang kami terima amat memberangsangkan, walaupun baru dibuka, kami telah menerima banyak tempahan. Kemeja-T Hujan habis dijual hanya dalam dua hari," ujar Dimas yang bertutur seumpama seorang ahli perniagaan pula.


TUMPUAN. Hujan kini berjaya mengumpul sehingga 100,000 pengikut pada laman sesawang MySpace mereka.


Melihat kejayaan mereka hari ini, ada yang melabelkan Hujan sebagai sifu band indie di Malaysia. Tertawa dan terkejut dengan kenyataan itu, baik Noh, Dimas mahupun Izzat dengan rasa rendah diri memberitahu mereka masih belum layak untuk menerima gelaran sifu.

"Saya bersyukur sangat kalau orang anggap kami begitu tetapi pada masa yang sama kami tidak layak lagi untuk dipanggil sifu. Tunggulah kami sudah hasilkan 10 album, ini baru permulaan perjalanan Hujan," tegas Noh.

Tutur Dimas, sebagai band yang ingin membangunkan muzik Malaysia, mereka bersedia membantu mana-mana band dan artis baru.

"Impian kami ingin melihat muzik Malaysia dipenuhi dengan penyanyi berkualiti, jadi kami tidak kisah untuk membantu selagi termampu termasuk berkongsi pengalaman kami," ucap Dimas yang merupakan bapa kepada seorang anak.

Lonely Soldier Boy

Seiring dengan pelancaran album ketiga mereka berjudul Lonely Soldier Boy di Berjaya Times Square baru-baru ini, banyak perubahan dilihat dalam muzik Hujan.

Lebih terarah kepada muzik berentak perlahan iaitu balada daripada lagu rancak, Hujan menjelaskan album yang dihasilkan dengan kos RM30,000 itu masih kekal dengan identiti Hujan.

Meskipun 14 buah lagu dalam album tersebut dikeluarkan pada tahun ini tetapi kebanyakan lagu berentak perlahan itu ditulis oleh Noh sejak tahun 2006 lagi.

"Album baru ini lebih mesra pendengar kerana campur lagu lama dan baru, bezanya album dulu tujuh lagu, sekarang kami berpeluang muatkan lebih banyak lagu dalam album," jelas Noh lagi mengenai album yang dibikin selama empat bulan itu.

Menariknya lagu Lonely Soldier Boy yang diangkat sebagai judul album itu merupakan lagu saduran daripada animasi Jepun, Mospeada dan ia merupakan cerita animasi Jepun kegemaran Noh ketika kecil.

Setelah mendapat kebenaran hak cipta daripada syarikat di Jepun dengan bantuan syarikat pengedar album Hujan iaitu Warner Music Malaysia, lagu itu diubah kepada versi Hujan sendiri.

"Lagu itu sudah lama. Tercetusnya idea untuk menggunakan lagu itu adalah pada tahun 2006. Kalau nak tahu dalam banyak-banyak lagu tema animasi Jepun, lagu itu paling saya ingat dan saya suka," beritahu Noh yang turut menghiburkan peminat dengan lapan buah lagu selepas majlis sidang media.


TUNANG Noh, Mizz Nina (kanan) tidak ketinggalan hadir pada majlis pelancaran album Lonely Soldier Boy memberi sokongan buat Noh dan Hujan.


Dimas pula mencelah memberitahu, album ketiga Hujan itu merupakan album mereka yang paling lama dan teliti pembikinannya. Mereka juga mengupah jurutera bunyi terbaik untuk proses mixing dan mastering album tersebut.

Malah, album itu disifatkan album yang paling mencabar buat Noh kerana banyak lagu balada dan nada tinggi.

"Saya tanya pada Noh, boleh ke dia nyanyi lagu-lagu nada yang tinggi, dia kata okey. Jadi, untuk album ini vokal Noh memang agak berbeza kerana ada peningkatan daripada dulu," jelas Dimas mengenai album yang menjalani rakaman di Malaysia dan juga Indonesia.

Album yang telah berada di pasaran sejak 25 November lalu mempertaruhkan lagu seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Bagaikan Matahari, Inspektor Remos, Kita Tak Peduli, Bahgia, Kasihan, Kotak Hati, Walaupun Jauh, Jangan Kejutkan dia, Hampir, Sentiasa Ada, Aku Yang Asing dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: