Tuesday, December 14, 2010
Hijrah Noryn Aziz
Sejak kebelakangan ini, industri hiburan diwarnai dengan ‘penghijrahan’ beberapa artis wanita yang memilih untuk bertudung walaupun masih aktif di dalam industri. Antaranya Anne Ngasri, Farah AF, Ramlah Ram.
Terbaru, penyanyi irama Jazz Noryn Aziz turut tampil dengan imej bertudung, sekali gus mengiakan spekulasi bahawa dia sudah berubah imej. Lebih manis lagi, perubahan imej ini bersesuaian dengan ‘mood’ tahun baru bagi umat Islam di seluruh dunia.
Menurut Noryn, penghijrahan ini telah dibuat secara berperingkat dan dia kini yang telah bergelar hajah setelah kembalinya dari mengerjakan haji pada 27 November lalu berharap perubahannya ini akan kekal selamanya.
“Impian bertudung ini sudah lama saya simpan dan saya telah mula secara berperingkat kerana saya tidak mahu orang salah faham dengan niat saya. Lagipun ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang muslimah, jadi tidak perlulah saya hebohkan.
“Setelah kembalinya dari tanah suci Mekah, saya rasa lebih tenang dan ini adalah imej saya sekarang,” katanya yang ditemui selepas sidang media Anugerah Skrin 2010 baru-baru ini.
Menurut Noryn, perubahan imejnya ini tidak bermaksud dia akan bersara dari industri seni suara. Sebaliknya dia masih aktif kerana amat mencintai dunia nyanyian.
Malah kepelbagaian fesyen muslimah yang mudah didapati sekarang tidak membataskan kariernya.
“Zaman sekarang sudah banyak fesyen muslimah malah banyak artis di Malaysia juga sudah banyak yang memilih untuk bertudung. Jadi saya rasa tidak ada masalah kalau saya terus aktif menyanyi walaupun bertudung,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya menunaikan rukun Islam kelima itu, Noryn berkata dia berangkat ke tanah suci Mekah pada 12 Oktober bersama ibu dan bapanya, Abd Aziz Mohd Dali dan Saamah Yaacob.
Selain menunaikan ibadah Haji, Noryn berkata kepergiaannya ke sana mengeratkan lagi hubungannya dengan kedua orang tuanya memandangkan dia agak sibuk dengan karier nyanyiannya.
“Perasaan saya bercampur baur sebaik menjejak kaki ke sana dan tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Saya rasa diri saya lebih dekat dengan Allah SWT dan saya puas kerana dapat beribadat dengan tenang.
“Secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran dan menambahkan ketaqwaan saya kepada Allah. Saya tidak mengalami sebarang kejadian pelik dan aneh sepanjang berada di sana. Malah dari awal lagi saya memasang niat ke sana adalah untuk beribadah,” katanya yang bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: