Monday, December 13, 2010

Dia Atilia karya ciplak?


NIZAM Sani (kanan) bersama para pelakon Dia Atilia selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


DRAMA bersiri Dia Atilia yang disiarkan setiap Selasa di saluran Astro Prima bukan drama ciplak. Tetapi ia sekadar mengambil inspirasi daripada filem Hindi popular Kuch Kuch Hota Hai (KKHH).

Pengurus Astro Prima, Nizam Sani berkata, drama 26 episod yang disiarkan mulai 30 November lalu itu tidak meniru filem lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu.

Sebaliknya ia sekadar mengambil inspirasi daripada segi jalan ceritanya yang dekat di hati para penonton.

“Contohnya, sebelum ini ada drama dan filem yang berjudul Isabella yang diinspirasikan daripada lagu popular kumpulan Search, Isabella. “Biarpun Dia Atilia diinspirasikan daripada KKHH tetapi ia tetap ada jalan ceritanya yang diolah berlainan.

“Cara ini memudahkan para penonton menghayati drama bersiri ini kerana ia sudah ada di hati para mereka yang pernah menonton KKHH,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama arahan bersama Samby Dinesh dan Adam Hamid itu antara lain mengisahkan tentang pasangan suami isteri, Faizal dan Hani yang dikurniakan seorang anak perempuan sebelum Hani terbunuh dalam kemalangan.

Faizal kemudiannya dipertemukan dengan Atilia, seorang guru yang sudah lama tidak ditemuinya sewaktu dia menghantar anak perempuannya, Minie belajar, di sebuah sekolah hingga mencetuskan kenangan lama mereka.

Sungguhpun diinspirasikan daripada KKHH tetapi Nizam yakin Dia Atilia mampu mencetuskan fenomena tersendiri berdasarkan kekuatan jalan cerita dan barisan pelakon.

“Ini adalah antara drama pilihan Astro Prima yang diletakkan dalam slot Megadrama di mana ia adalah yang terakhir untuk tahun ini.

“Saya yakin Dia Atilia mampu mencetuskan fenomena tersendiri sama seperti drama lain dalam slot Megadrama.

“Antara kekuatan itu ialah jalan ceritanya yang padat, ada mesej tersendiri iaitu tentang cinta dan persahabatan.

“Malah, gandingan dua pengarah yang terbabit dalam drama ini menguatkan lagi arahan drama ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: