
KEMPEN Clinique Happy Day yang disambut setiap tahun pada hari Jumaat kedua bulan Disember di New York, semakin dipraktikkan secara meluas di Malaysia. Buktinya, pada tahun ini genap kali keempat program jenama kosmetik Clinique tersebut dianjurkan di Kuala Lumpur.
Ia bertujuan menghimpunkan staf dari setiap peringkat termasuklah di bahagian pengurusan jenama, jualan dan kumpulan perunding Clinique, bagi meraikan Clinique Happy Day bersama-sama kelompok masyarakat yang kurang bernasib baik.
Terbaru, dengan rasa tanggungjawab pihak Clinique Malaysia menganjurkan program Clinique Happy Day di wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk menggembirakan dan menghiburkan para penghuni wad yang kebanyakannya berjuang menentang penyakit kanser.
Menurut Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, keprihatinan Clinique bukan saja membantu wanita atau lelaki yang mengalami masalah kulit wajah. Pada masa yang sama, mereka komited dan tidak pernah mengabaikan pihak yang memerlukan bantuan.
"Seperti yang diketahui kebanyakan kanak-kanak yang dirawat di sini datang dari kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah. Jadi kadangkala mereka tidak mampu membeli anak patung atau alat permainan untuk menceriakan anak-anak yang sedang sakit.

"Maka, kami berpendapat menerusi program Clinique Happy Day, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan memberikan peluang kepada si kecil memiliki alat permainan," ujar Sharyn mengenai Clinique Happy Day yang membawa keriangan dan kegembiraan kepada sesiapa sahaja.
Tambah Sharyn, meskipun kanak-kanak itu bertarung dengan penyakit, namun mereka memiliki tahap keberanian dan ketabahan yang tinggi. Paling mengujakan apabila golongan tersebut masih mampu mempamerkan senyuman dan semangat yang kental.
Enggan membiarkan kanak-kanak terus dibelenggu dengan kesakitan yang dialami, pada hari Clinique Happy Day, kumpulan Clinique yang menyarungkan baju T rona jingga telah menganjurkan bermacam-macam aktiviti menarik.
Selain dihiburkan dengan celoteh dan gelagat badut yang mencuit hati, penghuni wad dan ibu bapa berpeluang menyertai permainan lukisan pasir, mengecat muka serta aktiviti mewarna.
Suasana di segenap ruang wad bertambah ceria apabila perunding kecantikan Clinique menawarkan sesi transisi wajah kepada ibu bapa pesakit serta pekerja Hospital Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan atas apa yang mereka lakukan untuk kanak-kanak itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: