Thursday, December 2, 2010

Celcom terus cemerlang

SHAZALLI...perolehan kasar RM5.13 bilion
SHAZALLI...perolehan kasar RM5.13 bilion

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih perolehan kasar RM1.72 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2010 sekali gus merekod pertumbuhan bagi 18 suku tahun kewangan berturut-turut dalam segmen itu.

Gergasi telekomunikasi itu turut mempamer prestasi memberangsangkan sepanjang sembilan bulan pertama bagi tahun kewangan semasa apabila mengekalkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun dalam semua petunjuk kewangan utamanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, dalam tempoh itu, syarikat mencatat perolehan kasar RM5.13 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya; perolehan sebelum cukai, faedah dan susut nilai (Ebitda) RM2.41 bilion, meningkat 17 peratus dan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (Patami) yang mencatat pertumbuhan 24 peratus kepada RM1.4 bilion.

Katanya, pertumbuhan perolehan 11 peratus itu sekali gus meletakkan Celcom penyedia perkhidmatan telekomunikasi mencatat pertumbuhan tertinggi di negara ini sepanjang tempoh sembilan bulan.“Celcom turut memperoleh prestasi positif mencatat peningkatan 0.4 peratus membabitkan perolehan kasar suku ketiga 2010 daripada suku kedua sebelum ini walaupun menerima kesan akibat kadar rendah antara hubungan lebih RM30 juta.


“Pertumbuhan ini didorong momentum positif dalam perkhidmatan jalur lebar mudah alih kami selain penggunaan tinggi perkhidmatan pada musim perayaan Aidilfitri lalu. Bagi suku ketiga ini, Patami mencatat peningkatan dua peratus manakala Ebitda kekal stabil,” katanya pada sidang media selepas pengumuman prestasi kewangan Celcom bagi suku ketiga 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pelanggan perkhidmatan jalur lebar mudah alih Celcom kini melepasi angka 800,000 pada suku ketiga terbabit, meningkat 69 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini sekali gus mengekalkan kedudukan Celcom selaku peneraju segmen perkhidmatan jalur lebar mudah alih di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: