Monday, December 13, 2010

Bukan cari publisiti murahan


TIDAK kisah apa orang ramai bercakap, Nana selesa dengan imej barunya.


JIKA dahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Paling Comel ini aksi dan penampilannya di media sentiasa kelihatan sopan umpama wanita melayu terakhir.

Sering membawakan lagu berirama pop etnik dan tradisional, penampilan Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini jarang kelihatan menjolok mata.

Baju kurung dan kebaya sungguh sinonim dengan penampilannya. Kalau bergaya yang lebih kasual pula, Nana sering dilihat mengenakan seluar panjang serta kemeja yang sopan.

Namun, sejak akhir-akhir ini, Nana yang telah memegang status janda lebih setahun mula berubah imej.

Dilihat di majlis-majlis hiburan baru-baru ini, Nana mula beraksi lebih berani dengan pakaian yang lebih menunjukkan kulit.

Malah pada satu sesi fotografi yang diaturkan baru-baru ini, Nana hadir dengan gaun indah ciptaan pereka muda Hazril Hisyam yang menampakkan dada dan bahu.

Bukanlah sesuatu yang pelik jika artis hadir ke sesi fotografi berpakaian sedemikian. Tetapi ia menjadi pelik kerana dia adalah Siti Nordiana, seorang penyanyi yang dikenali dengan imej sopan satu ketika dulu.

Nana tidak menafikan cara pemakaiannya yang seksi sejak akhir-akhir ini menjadi percakapan peminat, namun bagi Nana gaya seksinya itu masih terkawal dan tidak keterlaluan.

“Saya bergaya seksi bukan mahu mencari publisiti murahan. Ia sekadar mengikut peredaran masa dan perubahannya itu selari dengan single baru saya yang lebih rancak.

“Dulu masa saya masih belum berkahwin, saya ada juga hadir ke sesi fotografi dan majlis-majlis hiburan memakai baju yang tiada lengan.

“Tapi sebelum ini orang tidak ambil peduli pun. Mungkin sekarang kerana status saya janda, ia menjadi percakapan orang.

“Saya tidak kisah kalau ada yang menegur pakaian saya yang dianggap melampau. Tegurlah dengan cara baik tetapi jangan melibatkan keluarga saya,” pinta Nana.

Menurut Nana, sebagai artis dia bingung dengan sikap peminat atau masyarakat terhadap dirinya dan mungkin artis-artis lain

“Apabila memikirkannya saya tidak tahu nak buat apa. Dulu bila saya berpakaian sopan orang mengata saya macam orang kampung. Saya ubah imej yang lebih segar pun orang masih berkata.

“Perubahan imej saya ini sebenarnya sesuai dengan kemunculan kembali saya dalam industri dengan lagu yang berkonsepkan alternatif rock. Saya perlukan imej baru yang lebih segar,” ujar Nana tenang sewaktu sesi fotografi baru-baru ini.

Bagi Nana, dia tidak bermaksud jika membawa lagu rock perlu berimej seksi, tetapi Nana mahu nampak lebih berani dan lebih agresif serta kelihatan cantik.

“Saya bukan sentiasa berpakaian seksi tetapi sekadar mengikut tema majlis dan sesi fotografi.

“Apabila di luar, saya masih seperti Nana yang dulu. Nana berpakaian seperti wanita-wanita lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: