Tuesday, December 14, 2010

Aznil Tidak Lagi Rendah Diri

Aznil dan Azlin Reza Azmi bersama trofi yang dimenanginya

KUALA LUMPUR: Pengacara Aznil Nawawi mengaku tidak lagi berasa rendah diri sebagai pengacara program televisyen berbahasa Malaysia jika di bandingkan dengan program televisyen berbahasa Inggeris.

Katanya, kemenangan program Jangan Lupa Lirik yang merangkul Anugerah Program Permainan Kuiz Terbaik di Asian Television Awards (ATA), Singapura baru-baru ini adalah bukti bahawa rancangan televisyen berbahasa Malaysia juga setanding dengan program televisyen berbahasa Ingeris terutamaya dari luar negara.

“Dulu saya rasa rendah diri bila dibandingkan dengan pengacara program berbahasa Inggeris. Rasa macam program mereka lebih hebat sebab menggunakan bahasa antarabangsa.

“Tapi selepas kemenangan ini, saya rasa lebih yakin dan bangga sebab yang tercalon dalam pertandingan ini ialah dari program seluruh Asia.

"Negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan lain-lain menghantar penyertaan program yang berbahasa Inggeris tapi Alhamdulillah kami yang menang,” katanya.

Pertandingan tersebut disertai lebih 1,000 peryertaan dari 15 buah negara di seluruh asia termasuk Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand.

Ujarnya, kemenangan tersebut juga merupakan pencapaian terbaik baginya selama 20 tahun berada dalam bidang pengacaraan.

“Walaupun ini kemenangan ketiga saya di peringkat Asia, namun saya jadikan ia sebagai penanda aras untuk mencapai peringkat lebih tinggi lagi.

“Secara peribadi impian saya ialah untuk memenangi ketogori Pengacara Terbaik Asia suatu hari nanti,” katanya yang pernah memenangi anugerah bagi Bual Bicara Terbaik tahun 2005, Pengacara Hiburan Asia pada 2008 dan Program Permainan Kuiz Terbaik Asia, 2010.

Bagaimanapun, menurut Aznil dengan kemenangan ini bukanlah tiket untuknya lebih memilih.

“Inilah masa saya untuk berkongsi pengalaman selama 20 tahun ini dengan pengacara lain. Saya lebih suka jika digandingkan bersama-sama pengacara lain.

“Kemenangan bukan bermakna saya sudah jadi terbaik. Saya masih lagi belajar dengan pengacara-pengacara lain. Lain orang lain cara mereka mengendalikan sesebuah rancangan,” katanya.

Ketika ditanya tentang perancangan untuk terlibat dalam sebuah program realiti tentang kehidupannya, katanya ia masih lagi diperingkat perbincangan.

“Kita masih lagi berbincang untuk buat program realiti tersebut. Terlalu banyak perkara yang perlu dibincangkan. Sejauh mana kesediaan saya untuk mendedahkan kehidupan peribadi dan berkongsi dengan peminat.

“Dari segi penerimaan masyarakat juga perlu diambil kira. Craa hidup kita di sini berbeza dengan di barat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aznil bakal mengendalikan program terbaru berjudul Serasi Bersama terbitan Astro yang akan bergandingan dengan pengacara Sharifah Shahira.

Rancangan 15 episod ini bakal mencungkil rahsia kebahagiaan suami isteri akan mengantikan rancangan Mari Menari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: