Monday, December 13, 2010

Aishah duta De Bella


AISHAH mengakui sejak bersuamikan Faisal, ibadat solatnya lebih sempurna berbanding sebelum ini.


TIDAK keterlaluan dikatakan bahawa tahun 1990 ialah kemuncak kegemilangan penyanyi bersuara lantang, Aishah. Lagu Janji Manismu, gubahan Adam Ahmad menjadi lagu hit sepanjang tahun tersebut.

Malah Janji Manismu juga, menjadi antara lagu malar segar yang diingati peminat sehingga sekarang.

Menambah kemanisan Aishah pada tahun itu, Janji Manismu berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu dengan mempersembahkan gimik yang berbentuk teaterikal - sesuatu yang cukup asing ketika itu.

Siapa yang akan lupa adegan Aishah membawa beg pakaian di atas pentas gambaran kekecewaan hati seorang gadis yang ditinggalkan kekasih lalu membawa diri jauh di perantauan.

Menggunakan pelbagai prop seperti meja, lampu dan beg, gimik tersebut telah menjadi ikutan peserta setiap kali Anugerah Juara Lagu dianjurkan. Sesungguhnya, Aishah antara pencetus trend di Malaysia.

Seiring masa berlalu, setiap insan pasti mahu melakukan perubahan dalam hidup, begitu juga Aishah. Masih lagi menjadikan bakat nyanyian sebagai medium penyampaian, cuma kali ini dengan tujuan berbeza.

Sudah memiliki album zikir yang berjudul Anak yang dipasar secara online di laman sesawang, nasyeed.com dan di kedai-kedai buku terpilih. Aishah berharap album tersebut dapat didengari oleh para peminat dan mampu memberi kesedaran.

"Suara ialah anugerah yang saya miliki. Ini menjadi salah satu cara saya untuk menyampaikan dan mendorong masyarakat ke jalan kebenaran.

"Malah jika dibuat perbandingan, penghayatan seseorang itu lebih berkesan jika disampaikan melalui nyanyian daripada penyampaian secara terus," ulas Aishah yang masih mampu menyampaikan lagu Janji Manismu seperti 20 tahun dahulu.

Ditemani insan tercinta, Faisal Zulkifli pada sesi temu bual bersamanya baru-baru ini, jelas terpancar keceriaan pada wajah Aishah tatkala ditanya perasaannya yang kini sudah kembali bergelar isteri.

"Banyak perubahan yang berlaku kepada diri saya selepas mendirikan rumah tangga. Kedua-dua pihak perlu menyesuaikan diri kerana kami datang daripada dunia yang berlainan.

"Selain itu, ibadah solat saya kini lebih terjaga. Jika dahulu jika saya melalui perjalanan yang jauh, ia akan menjadi alasan untuk tidak melakukan solat. Tetapi kini ia bukan lagi alasan untuk saya tidak solat," kata Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin.


MASIH POPULAR. Aishah masih mampu menyanyi dengan vokal yang menyakinkan dan penuh mantap.


Penggemar kopi

Tambah Aishah, yang paling membuatkan dirinya gembira ialah kini anak-anak sudah memiliki role model yang boleh dijadikan ikutan.

Sementara itu, Aishah telah mengikat kontrak selama setahun dengan De Bella untuk menjadi duta dan jurucakap produk kecantikan keluaran De Bella, Litchin.

Majlis yang dihadiri oleh Pengarah Urusan Bella-Z Mutiara Marketing (M) Sdn. Bhd., Puziah Saad menjadi tanda bermula kerjasama antara Aishah dan De Bella.

"Saya baru sahaja melalui sembilan hari menjalani proses rawatan bersama De Bella dan mereka setuju mengambil saya untuk menjadi jurucakap produk mereka. Ini menunjukkan De Bella yakin dengan saya dan keberkesanan produk mereka.

"Selepas beberapa hari menggunakan Litchin, saya mula merasa sihat dan segar. Paling menakjubkan, sebagai penggemar kopi yang mampu minum lima atau enam cawan kopi sehari, kini setengah cawan pun susah untuk habis," kata Aishah.

Pada majlis itu juga, Aishah sempat menghibur para peminat dengan dendangan lagu-lagu yang pernah hit suatu ketika dahulu seperti Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Janji Manismu.

Kelihatan bersahaja dan bijak mengawal pentas dan peminat, Aishah tiada sebarang rahsia untuk kelihatan yakin di pentas.

"Ia datang secara harfiah dan pengalaman sepanjang menjadi penyanyi. Lagipun, saya lebih selesa menyanyi secara langsung berbanding hanya miming," tambah Aishah yang akan menyambut hari lahir ke-46 pada 3 Januari tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: