Monday, December 27, 2010

4 sepupu ke kelas tuisyen maut


KETUA Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Pasir Mas, Cif Inspektor Azani Mat Nawi melihat kereta yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sepupu.


PASIR MAS – Hasrat empat sepupu termasuk dua beradik untuk menghadiri kelas tuisyen tidak kesampaian apabila kesemua mereka maut selepas kereta jenis Peugoet 406 yang dinaiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 7, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 7.45 malam itu mengakibatkan Afik Izzuddin Abdul Aziz, 17; adiknya, Mohd. Irshaduddin, 13; dua sepupu mereka, Mohd. Ishraf Ibrahim, 11; dan Nurul Qistina Hanafi, 11, mati selepas mengalami kecederaan parah.

Nurul Qistina meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM). Pemandu kereta itu, Amir Ashraf Abdul Aziz, 22, kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPM.

Akibat rempuhan tersebut Afik Izzuddin, Mohd. Irshaduddin dan Mohd. Ishraf tercampak keluar sebelum terhumban ke dalam parit sedalam 0.3 meter menyebabkan mereka lemas.

Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Simpang Empat Tok Uban di sini ke bandar Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, akibat rempuhan kuat itu, kesemua mangsa termasuk pemandu terpelanting keluar sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Selain lemas, mangsa-mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan parah di kepala dan dada. Kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya yang meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: