Monday, January 11, 2010

Transisi Sam selepas 16 tahun



BIARPUN sudah berbelas tahun memperjudikan nasib di gelanggang seni, pelakon berbakat besar, Shaheizy Sam atau Sam masih berdepan dengan cabaran untuk menampilkan sisi komedi dalam filem terbarunya, Adnan Sempit terbitan MIG Production Sdn. Bhd.

Terbiasa dengan sikapnya yang mencintai kesempurnaan, pemuda berusia 26 tahun itu menganggap bukan mudah untuk membuatkan audiens terhibur apabila melihat lakonannya di skrin lebar sebagai Adnan atau Nan Sempit.

Maka tidak hairanlah apabila anak bujang kepada penerbit dan pelakon Khaty Fauziah itu bersungguh-sungguh menyelami setiap inci wataknya dalam filem itu kerana mahu memberikan impak berkesan di jiwa penonton.

"Saya akui hendak buat orang ramai ketawa melihatkan aksi komedi Adnan dalam filem ini bukanlah semudah yang dilihat. Ia menjadi tanggungjawab berat. Masa dapat skrip, saya segera fahamkan terlebih dulu wataknya.

"Tidak ketinggalan, saya cuba mendasari daripada mana datangnya unsur jenaka si Adnan ini. Kemudian barulah saya dapat luahkan perasaan jenakanya dengan sebaik-baik mungkin ketika berada di set penggambaran.

"Pada waktu yang sama, saya harus berjaga-jaga dengan dialog yang dilontarkan dan pergerakan sendiri kerana khuatir ia kelihatan kekok pada pandangan peminat. Kalau buat silap maka saya juga yang akan dikritik atau kelihatan pelik kelak.

"Begitupun, terus-terang dikatakan saya terima watak ini kerana ingin mencabar diri sendiri sekaligus meneroka sisi lain dan kebolehan saya sebagai pelakon," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu di Cathay Cineplexes, Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya minggu lalu.


SELEPAS cemerlang dengan watak antagonis, mampukah Sam membuatkan penonton ketawa sebagai pelakon komedi?

Sam sebelum ini pernah melakonkan watak komedi bernama Johan dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak ditayangkan pada 4 Jun tahun lalu bergandingan dengan Lan Pet Pet dan Cat Farish.

Dalam santun tutur kata, anak muda berbintang Virgo itu tidak mampu menafikan dia sebenarnya menyukai watak komedi walaupun sebelum ini sering diuji dengan karakter berat dan serius.

"Komedi ada banyak jenis seperti slapstik, sitkom dan lain-lain. Tetapi selepas diperhatikan, watak Adnan lebih terarah kepada komedi ringan yang masuk akal dan bersifat realistik secara keseluruhannya.

"Saya teruja dapat pelbagaikan watak termasuk melakonkan karakter jenaka. Walaupun ada kesukaran tersendiri apatah lagi saya bukanlah seorang pelawak, hakikatnya saya dapat mempamerkan kelainan terhadap bakat lakonan yang dimiliki.

"Dalam waktu sama, pengarah Adnan Sempit iaitu Ahmad Idham cukup fleksibel semasa menjalankan tugasnya. Para pelakon dan Idham ibarat mengamalkan jual dan beli sepanjang 25 hari penggambaran filem ini dijalankan.

"Saya dan pelakon lain boleh beri idea dan berkongsi pandangan kepada tuan pengarah demi mencantikkan lagi babak dalam filem ini. Idham pula merupakan individu yang senang menerima komen demi kebaikan bersama dalam produksi ini," jelas Sam bersungguh-sungguh.

Disatukan dengan Intan Ladyana sebagai heroin, Sam yang tidak bersiram percikan glamor turut meluahkan kegembiraan apabila berpeluang 'berdampingan' dengan pelakon wanita jelita itu menerusi Adnan Sempit.

"Senang sekali dapat kerja dengan Intan. Dia merupakan individu yang santai dan bijak menyampaikan dialognya dalam filem ini. Tidak timbul soal saya cuba menutup kemunculan Intan semasa kami berlakon sama.

"Saya tetap beraksi seperti biasa kalau ada adegan dengan Intan. Saya cuma seimbangkan watak Adnan kerana ada waktunya energi ringan dan berat perlu ditonjolkan dalam situasi berbeza-beza," ungkapnya yang tidak pernah lelah mencari ruang mempelajari perkara baru tentang lakonan.

Gandingan Intan Ladyana


AHMAD IDHAM sangat terbuka mendengar dan menerima pendapat pelakon di lokasi filem Adnan Sempit.

Berkesempatan digandingkan dengan Sam sebanyak dua kali, Intan menzahirkan pendapat peribadi bahawa adik kepada aktres jelita Zizie Ezette itu sebagai individu yang sering muncul dengan pelbagai ilham kreatif dan mengujakan.

"Walaupun filem Adnan Sempit merupakan kolaborasi pertama kali saya dengan Sam namun, kami tidak menghadapi sebarang masalah. Selepas itu, kami muncul sekali lagi dalam drama bersiri Jangan Pandang Belakang 2 yang masih menjalankan penggambaran.

"Biarpun ada masa-masanya idea dia pelik dan luar biasa, Sam sebenarnya tetap dapat melakonkan wataknya dengan baik. Kalau ada adegan yang kelakar, memang ia betul-betul menjadi dan kelihatan natural.

"Bayangkan apabila Sam yang realitinya bukan seorang pelawak dan punya personaliti berbeza boleh membuatkan orang di sekeliling terhibur dengan gelagatnya sewaktu membawakan watak Adnan.

"Seronok dapat berlakon dengan Sam yang turut disifatkan sebagai seorang pelakon kreatif dan versatil," jelas Intan berhujah lebih lanjut tentang si tunjang utama filem tersebut.

Memegang peranan sebagai anak orang kaya bernama Nadia yang berwawasan dan komited menjalankan perniagaan keluarga, Intan memberitahu, bukan mudah sebenarnya untuk merealisasikan watak itu.

Ada kesulitan yang perlu dijalani oleh wanita berusia 27 tahun itu dalam menzahirkan watak Nadia. Masakan tidak, Intan harus menampilkan transisi daripada Nadia berkarier kepada Nadia yang memasuki alam kumpulan pelesit jalanan.


SAM sebagai Adnan dan Intan memegang watak Nadia dalam satu babak Adnan Sempit.

"Perubahan watak ini sudah pastinya menjadi cabaran terhebat kepada saya. Ada babak menampilkan Nadia memasuki dunia sebenar Adnan yang ternyata berbeza dengan stail dan cara hidupnya sebelum ini.

"Saya kena pastikan penampilan Nadia yang bekerja di pejabat dan Nadia bergaul dengan golongan mat rempit berlainan agar penonton tidak mudah terkeliru pada kemudian hari.

"Dalam pada itu, sempat jugalah saya menyaksikan filem Rempit dan buat pemerhatian dengan golongan ini di pusat beli-belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur sebagai rujukan.

"Saya tidak pernah pegang watak macam ini setelah beberapa tahun berlakon. Bahkan ia menjadi faktor utama saya kenapa saya mahu melibatkan diri dalam projek Adnan Sempit," ujarnya yang lahir pada 2 Jun 1982 dalam nada penuh berhemah.

Selain Intan dan Sam, filem itu turut dibintangi oleh Norliana Samsudin, Along (Raja Lawak), Cat Farish, Julia Hana, Angah (Raja Lawak), Zack (X-Factor), Hafidzuddin Fadzil dan ramai lagi.

Kepada peminat karya terbitan MIG, jangan lupa untuk mengunjungi pawagam berhampiran beramai-ramai untuk menyaksikan filem Adnan Sempit bermula 14 Januari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: