
Himpunan lima pereka pada Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MiFW) 2009 menyampaikan mesej tidak salah jika lelaki bereksperimen dengan warna untuk penampilan mereka.
SEKIRANYA ada yang masih menganggapkan fesyen lelaki sungguh membosankan, mereka silap. Tidak keterlaluan jika dikatakan individu yang memberikan tanggapan tersebut agak ketinggalan zaman.
Ini kerana pertunjukan fesyen hi-tea dan pertunjukan koktel gala BDA/Mifa 2009 yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini menyangkal tanggapan tersebut.
Ia membuktikan pakaian lelaki tidak sentiasa santai, tidak terlalu polos atau berwarna kusam untuk menyuntik sifat macho dan segak. Namun golongan itu masih berpeluang bergaya anggun, mencuba potongan seksi dalam warna-warna menawan dan corak ceria yang mampu menggegarkan pentas peragaan.
Pertunjukan fesyen Bumiputra Designer Association (BDA) yang berlangsung sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MiFW) 2009 anjuran MIFA berjaya merungkai cita rasa lelaki yang dahagakan warna, potongan, corak dan drama. Himpunan itu mempamerkan lima pereka yang terdiri daripada Bon Zainal bersama rakan kongsinya Ervan Azmi Razak, Rahman Saif, Andy Sulaiman dan Anizam Yusoff serta Embun.
Bertemakan Rock & Roll, tirai pertunjukan fesyen himpunan terkini Bon Zainal menggegarkan pentas peragaan.
Rekaan Bon cukup memukau daripada kemeja santai, kemeja-T percutian, jean ranggi, sut dan slack klasik sehinggalah gaya jarang difikir oleh orang lain.
Ranggi
Bon berani memadankan seluar jean bersama kemeja bercorak, polos dan warna terang. Tidak ketinggalan kemeja- T dan sut anggun yang lengkap dengan rompi dan cummerbund. Bagi lelaki ranggi, rekaan Bon dan Natrah dari butik Embun memberikan gaya selesa dan santai.
Sementara itu, chef selebriti dan duta masak Malaysia, Chef Wan pula berpendapat sesetengah ciptaan memang menarik sementara terdapat juga yang punya banyak ruang untuk diperbaiki.
Pilihan warna garang mencetus kelainan pada signatur Bon. Lebih mengujakan apabila kemeja-T motif ranggi menyuntik gaya santai.
Aksi model yang memperagakan kemeja tanpa dibutangkan mendapat siulan nakal. Mungkin itu memberi indikasi yang baik buat Bon.
“Kali ini saya tampilkan kelainan dan tonjolkan gaya santai. Nampak mudah tapi sebenar ia amat mencabar tapi saya sukakannya,” pintas Bon Zainal.
Sementara itu koleksi fesyen Andy Suleiman, Rahman Saif dan Embun pula mempamerkan seleksi ragam fesyen kasual dan semi-formal lelaki.

KEMEJA motif flora rekaan terbaru daripada pereka fesyen Bon Zainal.
SUT Bon Zainal yang menggunakan fabrik berjalur warna kelabu kehitaman.
PEREKA fesyen Embun lebih tertumpu pada koleksi fesyen konsep santai dan kasual.
KOLEKSI Bon Zainal yang menyuntik kelainan dari segi konsep dan rekaan.
REKAAN Rahman Saif yang berani bermain dengan rona terang.
Secara umum gaya kasual lelaki yang dipertontonkan lebih tertumpu pada gandingan seluar panjang atau jean dan kemeja lengan pendek berbutang konsep santai. Dalam pada itu, kemeja berlengan panjang ala formal dan semi-formal kelihatan sesuai digayakan walaupun dalam cuaca panas.
Menariknya, penggunaan fabrik yang selesa seolah-olah menepati selera jejaka yang aktif. Antaranya penggunaan sutera mentah yang membuat rekaan anggun muncul ranggi dan versatil.
Secara keseluruhan, pereka fesyen mempamerkan koleksi pakaian kasual bersifat trendy, versatil dan tidak terlalu sofistikated dengan fabrik ringan dalam warna-warna ceria, motif flora dan geometri.
Rahman Saif lebih berani dengan rekaan seluar pendek corak kotak dan potongan sederhana. Koleksinya mudah digayakan sewaktu bersantai, bercuti atau riadah.
Corak Paisley yang diterapkan pada fabrik sutera sifon berwarna terang sesuai gaya santai dan sutera crepe warna lebih gelap untuk kemeja formal, membentuk satu garisan jelas pada karya santai dan semi-formal pereka itu.
Rahman turut memadankan kemeja lengan panjang dengan gabungan jaket berlengan. Penggunaan warna-warna kontra seperti hitam, putih dan kelabu menjadi kegemaran. Tidak ketinggalan Rahman turut membuat eksperimen pada sut dengan mainan warna terang dan garang.
Minimalis
Menyentuh tentang pemilihan warna, rona hitam tetap menjadi pilihan para pereka khususnya Andy Suleiman. Boleh dikatakan beliau begitu setia dengan warna itu yang menjadi signatur gayanya.
Ujar Andy: “Ada garisan jelas antara visi dan realiti yang dicipta pereka setiap kali berkarya.”
Pendekatan dan perincian yang ditumpukan pada bahagian kolar kemeja rekaannya memang ternyata menyerlah.
Mungkin karya beliau itu boleh dikategorikan dalam ‘minimalis ekstrem’. Misalnya, jaket hitam labuh berkolar lebar dan bertali pinggang. Ia sesuatu yang agak biasa dan minimal tetapi ekstremnya memukau.
Begitupun bagi Natrah Bujang dari butik Embun, kata kunci pada rekaan pakaian lelakinya berkisar sekitar keselesaan.

“Seseorang lelaki hanya nampak bergaya bila pakaiannya selesa atau tidak mengongkong pergerakan mereka. Saya fikir itu juga penting buat wanita... sebab itu saya amat prihatin bukan sahaja pada potongan tetapi juga fabrik dan corak yang dipilih.
“Walaupun pakaian lelaki sangat asas ia perlu versatil mengikut gaya hidup yang aktif,” kata Natrah.
Sementara itu, Natrah turut menarik perhatian dengan rekaan jaket warna-warni yang agak luar biasa kontrasnya. Ia digayakan komposer Ramlee M.S.

Ini dibuktikan dengan perubahan yang dibuat dalam penghasilan seluar hipster, seluar slim fitted dan besar. Gaya fesyen seluar berkedut dan berlisu yang mengecil di paras lutut juga turut diilhamkan.
Pereka baru, Anizam Yusoff mempamerkan eksperimen tersendiri yang sekali pandang agak futuristik dan suntikan warna kontras hitam dan jingga terang serta merah membuatkan tetamu terpaku.
Begitupun terdapat warna-warna tenang memberikan gambaran keinginan pereka itu dalam menyampaikan mesej kepada lelaki agar bermain dengan warna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: