Ketika negara-negara membangun seperti India dilaporkan bergelut dengan dilema perlombongan arang batu yang mencemarkan alam sekitar, negara maju Amerika Syarikat juga tidak terkecuali.

BERBANDING sedekad lalu, para aktivis alam sekitar Amerika Syarikat (AS) kini semakin lantang memperjuangkan kepentingan pemuliharaan alam sekitar. Momentum itu dirancakkan dengan kesepaduan menentang aktiviti penarahan kawasan tanah tinggi bagi tujuan perlombongan arang batu.
Antara bantahan itu melibatkan kawasan pergunungan yang dinamakan Appalachia di Virginia Barat.
Para aktivis mengeksploitasi apa jua medium untuk menyampaikan mesej mereka termasuk mengaplikasi kecanggihan dan keberkesanan laman web, jaringan sosial serta telefon satelit untuk penyampaian yang jitu.
Mereka juga merantai diri mereka bersama dengan kenderaan berat, mengadakan demonstrasi jalanan serta memanjat pokok untuk mengelakkan ia ditebang.
Mereka telah berarak berbatu-batu jauhnya, mengangkat sepanduk dan ada yang ditahan oleh pihak berkuasa.
Gerakan mereka turut disertai oleh selebriti terkenal seperti aktres Daryl Hannah, penyanyi country Kathy Mattea dan peguam terkenal Robert F. Kennedy Jr. Mereka turut mengadakan perhimpunan besar-besaran di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Negeri di Charleston.
Akan tetapi, kumpulan aktivis masih lagi perlu menangani cabaran yang lain. Misalnya, sikap tidak ambil peduli majoriti rakyat AS yang selalu disogok tentang kewajaran penggunaan elektrik bersumberkan arang batu.
"Perkara ini belum lagi menjadi isu kebangsaan. Tetapi, ia menjadi penanda aras apa yang berlaku pada masa kini tentang ketamakan korporat. Ia mengakibatkan pencemaran ekosistem, hutan-hutan ditebang dan kawasan tadahan air berkurangan.
"Ini sekali gus mengakibatkan aliran air yang tidak sekata," ujar bekas tentera laut, Bo Webb yang rumahnya terletak di kaki gunung itu. Terdapat tiga empangan sisa arang batu yang berjarak kira-kira 16 kilometer dari rumahnya.
"Bencana alam yang berlaku dalam keadaan senyap ini berlaku di bukit-bukau dan lembah-lembah di Virginia Barat, di mana penduduk di Los Angeles tidak tahu akan hal ini," kritik Nell Greenberg daripada kumpulan Jaringan Tindakan Hutan Hujan yang berpangkalan di San Francisco.
![]() |
| DARYL HANNAH |
Dua bulan lalu, Greenberg mendedahkan lebih daripada 65,000 orang telah menghantar e-mel pandangan mereka kepada Agensi Kawalan Alam Sekitar AS.
Perlombongan pergunungan banyak berlaku di tempat-tempat yang berpopulasi jarang di Appalachia di Virginia Barat. Ia kawasan yang tidak dilawati pelancong. Walaupun ia satu perkampungan yang tidak glamor, Appalachia dianugerahkan sumber alam semula jadi.
Semasa Kempen Pemilihan Presiden AS 2008, rakyat Amerika begitu lantang menyuarakan pandangan mereka sama ada syarikat-syarikat cari gali minyak perlu menggali petroleum di kawasan Pusat Perlindungan Fauna Artik atau tidak.
Alasannya mudah. Ini kerana orang ramai terbeban apabila ia berkaitan dengan minyak gasolin yang berharga AS$4 (RM13) per gelen. Mereka juga melihat kesan cari gali minyak pada gunung-gunung salji di Alaska.
Tetapi, apabila ia berhubung dengan tenaga elektrik melibatkan suis di rumah, mereka tidak begitu sedar apa yang berlaku pada bumi, mungkin kerana kosnya yang tidak membebankan. Pendek kata, kalau harga minyak untuk menggunakan kenderaan melonjak naik, kos elektrik dari sumber yang lebih murah bukanlah suatu yang perlu dikhuatirkan.
Namun, kesedaran berhubung hal itu sudah mula nampak dan ada juga kalangan pihak yang mempunyai 'kuasa' telah menyedarinya.
Menurut Senator Robert C. Byrd, majoriti ahli Kongres Amerika secara amnya membantah aktiviti penarahan bukit untuk tujuan melombong arang batu.
Di kaca televisyen pula, banyak iklan disiarkan berhubung perkara itu. Antaranya ialah Faces of Coal yang disiarkan pada Hari Buruh Sedunia. Iklan tersebut memaparkan risiko pekerja-pekerja yang terlibat dalam industri perlombongan.
Oleh kerana isu itu menjadi bahan perdebatan, Chris Hamilton, Naib Presiden Kanan Persatuan Arang Batu Virginia Barat, menyelar tindakan sebahagian aktivis alam sekitar kerana tindakan mereka telah memberi idea kepada segelintir ahli politik yang bercakap berasaskan kepentingan politik semata-mata.
Mereka yang terlibat dengan industri perlombongan juga membalas isu itu dengan menyifatkan industri perlombongan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah.
"Walaupun industri perlombongan ini sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko, saya tidak fikir ia begitu berbahaya pada zaman sekarang," ujar Hamilton.
Jika para aktivis menyuarakan bantahan terhadap aktiviti
Kini, ramai yang sudah mula menunjukkan sokongan.
Namun begitu, persaingan dengan budaya informasi hiburan di mana berita-berita sensasi seperti perihal pusat penyanyi kontroversi Britney Spears atau skandal seks pemain golf, Tiger Woods diberikan keutamaan masih lagi menjadi satu cabaran.
"Mungkin rakyat Amerika mahu melihat para selebriti popular pujaan mereka memegang sepanduk membantah pencemaran lalu ditahan polis baru mereka memberikan tumpuan dan sokongan untuk menjaga alam sekitar.
"Kita perlu mengikut selera tipikal rakyat Amerika," sindir Webb.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: