Sunday, January 10, 2010

Siti ke-31

HIMPUNAN kejayaannya tidak mampu diterjemah dalam satu lembaran cerita. Segala pencapaian selama 15 tahun ini tidak sesekali mengubah peribadinya. Reaksi dan egonya masih seperti dulu.

Tidak mahu mengambil kata-kata nakal sebegitu sebagai satu masalah, sebaliknya Siti punya cerita lain yang lebih manis untuk dikongsikan. “Siti tak pernah berpeluang untuk lari atau menyembunyikan diri dari segala kritikan. Kita tidak dapat untuk memuaskan semua pihak. “Malah sejak dari awal melangkah ke industri, Siti memang sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan. Jika tiada kesabaran, pasti sudah lama Siti mengundur diri.


“Bagaimanapun Siti sendiri tidak pernah mendengar keluhan begitu secara berdepan dari teman artis lain, paling tidak cerita itu bertiup ke telinga Siti dari orang-orang yang ada di sekeliling saja. “Siti tidak mahu ada yang berasa begitu kerana apa yang Siti lakukan selama ini hanya untuk memeriahkan industri saja. “Setiap tahun kemunculan album Siti pun bertujuan untuk mewarnai lagi selera peminat yang tidak jemu dengan muzik Siti. “Siti berharap agar semua rakan artis terutamanya mereka yang baru ingin menceburkan diri dalam bidang ini mengambil perkembangan ini sebagai satu saingan positif,” katanya.


Lebih sihat padanya kalau semua artis dapat berlumba-lumba menghasilkan sesuatu yang lebih bernilai dan berkualiti.


Tidak mahu memikirkan soal remeh begini. Usah sekali kita pertikaikan rezeki dan ketentuan-Nya. Semua orang termasuk artis sendiri boleh berjaya jika kita berusaha bersungguh. “Siti sendiri bermula dari bawah dan pelbagai usaha dilakukan untuk berada di tahap sekarang. Rasa takut untuk memikirkan detik-detik awal Siti menceburkan diri sebagai penyanyi namun ia kekal sebagai kenangan terindah dalam hidup Siti,” katanya.


Rasanya seperti baru saja menyaksikan persembahan Siti di pentas Anugerah Juara Lagu 1996 menerusi lagu Jerat Percintaan. Ketika itu Siti masih lagi belasan tahun. Namun, esok usianya menjengah 31 tahun. Cukup matang buatnya mengatur rencana hidup. Siti bersedia menempuh diari baru dengan kekurangan yang masih ingin diperbetulkan, juga kejayaan yang perlu dipertahankan.


“Tidak sekali pun Siti merasa puas dan bermegah dengan apa yang ada. Kejayaan Siti adalah kejayaan bersama keluarga dan peminat yang tidak henti mendoakan. Alhamdulillah apabila perancangan mencapai sasaran,” katanya.


Konsert eksklusif Satu di Istana Budaya, konsert Seribu Warna di Shah Alam, Bagaikan Sakti bersama M Nasir di Singapura dan sambutan album Tahajjud Cinta antara yang direalisasikan.


“Begitu juga gabungan usaha dengan Krisdayanti menerusi album CTKD. Jika kesempatan, kami berdua merancang mengadakan ‘road tour’ di Malaysia dan Indonesia bagi promosi album ini. “Namun masih ada beberapa agenda yang masih belum sempat dilunaskan. Siti ingin jayakan sebuah konsert tradisional sendiri dan sebuah persembahan istimewa sempena ulang tahun ke-15 kerjaya Siti sejurus selepas piala dunia nanti. “Selain itu, Siti berharap Konsert Satu Suara anjuran SNP Sdn Bhd yang menggabungkan Faizal Tahir dan Aizat bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 12 hingga 14 Februari ini berjalan lancar.


“Bagaimanapun, Siti juga berdoa agar kebahagiaan sentiasa mengiringi perkahwinan Siti yang sudah terbina sejak tiga tahun lalu. Malah, saban hari Siti tidak pernah lupa untuk memohon kepada Tuhan agar dikurniakan cahaya mata kerana Siti sememangnya sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: