
BERLIN – Salji tebal dan angin kencang mencetuskan perasaan gelisah di kalangan penduduk di Jerman semalam yang dilanda musim sejuk ekstrem.
Musim sejuk itu turut menyebabkan penduduk di Eropah sukar melakukan perjalanan kerana salji yang tebal.
Polis Jerman berkata, beratus-ratus kenderaan tersadai dan orang ramai terpaksa bermalam di dalam kereta atau meninggalkan kenderaan mereka di utara negara itu akibat ribut salji.
Salji tebal turut menjejaskan perjalanan kereta api di Jerman manakala berpuluh-puluh kampung terputus hubungan.
“Seluruh Jerman diselimuti salji. Salji setebal 29 sentimeter berlaku di bandar Leipzig di timur manakala Berlin dilapisi salji setebal 27 sentimeter. Bandar Hamburg di utara menerima salji sebanyak 12 sentimeter,” kata beberapa pegawai ramalan kaji cuaca.
Seorang lagi jurucakap berkata, sebanyak 61 penerbangan di Lapangan Terbang Frankfurt iaitu yang ketiga paling sibuk di Eropah terpaksa dibatalkan sejak tengah malam kelmarin.
Sementara itu, 50 penerbangan domestik di Lapangan Terbang Heathrow, London dibatalkan kelmarin selepas Britain dilanda musim sejuk terburuk dalam tempoh tiga dekad.
Di London, Tasik Serpentine iaitu lokasi renang popular di Hyde Park ditutup kelmarin iaitu kali pertama dalam tempoh kira-kira 140 tahun kerana salji tebal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: