Tuesday, January 26, 2010

Nilai kasih ibu


NOORITA bersama ibunya, Azizah ketika menyertai percutian ke Singapura anjuran Baxter Healthcare (M) Sdn Bhd Disember lalu.


KASIH ibu membawa ke syurga. Mungkin ada benar ungkapan ini. Besar pengorbanan dan kasih ibu sukar diluahkan dengan kata-kata. Pengorbanan ibulah yang menjadi kekuatan gadis muda ini tatkala disahkan menghidap penyakit Sistematik Lupus Erithematous (SLE). Kasih ibunya menjadi pembakar semangat untuk dia meneruskan kehidupan

Nooraita Ahmad Dahan, 25 bersyukur kerana dia dianugerahkan ibu yang tidak pernah berputus asa, menyokongnya dan menyayanginya dala apa jua keadaan.

Azizah Saudin, 61 tidak menyesali keadaan anaknya. Tidak kenal erti penat, Azizah setia di sisi anaknya. Dia berusaha menghiburkan Noorita kerana dia mahu anaknya sentiasa gembira.

Gelak tawa itulah yang menjadi pengubat hati anak-beranak ini.

Justeru itu, penderitaan yang dialami sejak kecil tidak pernah mematahkan semangat Noorita. Di sebalik keceriaan wajahnya terpalit kenangan yang mungkin tidak dapat dilupa. Dia pasrah apabila lima tahun lalu dia telah disahkan mengidap sakit buah pinggang.

Noorita didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang sejak Disember 2005 setelah menghidap SLE.

Tahun pertama sebagai pesakit buah pinggang, dia menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Besar Melaka. Menjalani rawatan hemodialisis begitu membebankan Noorita apatah lagi jarak antara rumah dan hospital agak jauh.

“Saya hanya menggunakan pengangkutan awam. Kaedah rawatan yang rumit, tiga kali seminggu. Saya sering berasa mual, pening dan muntah setelah selesai menjalani rawatan selama empat jam. Keadaan itu membuatkan saya tertekan,” katanya.

Keluhan itu mendapat perhatian doktor yang merawat Noorita. Pada 5 Julai 2007, Noorita mengambil keputusan untuk menjalani rawatan dialisis pritoneal (CAPD).

Ternyata keputusan yang diambilnya atas saranan doktor adalah yang paling tepat. Sejak itu, Noorita merasakan satu perubahan. Dia kini lebih mudah bergerak dan dapat menghabiskan lebih masa bersama keluarga.

“Saya mengalami perubahan yang baik dari segi kesihatan. Apatah lagi kaedah yang digunakan dalam rawatan ini adalah mudah. Ia dapat memberi keselesaan dan kesenangan pada pesakit,” ujarnya.

CAPD boleh dilakukan di rumah atau dibawa ke mana-mana. Ia akan dapat memberikan daya pergerakan yang lebih dan fleksibiliti yang dinikmati melalui kaedah ini. Berbeza dengan rutin rawatannya sebelum ini, Noorita dapat mengurangkan kekerapan ke hospital.

Istimewanya CAPD, ia mendisiplinkan pesakit dengan kaedah yang teratur. Bahkan, kaedah ini tidak menyakitkan pesakit.

Bagi Noorita, rawatan ini bukanlah punca untuk tidak melakukan aktiviti yang kita minati. Namun, ia memberi kebebasan untuk kita menjalani aktiviti harian tanpa mengganggu waktu rawatan.

“Seperti saya, ia bukanlah penghalang untuk saya menyambung pelajaran dalam bidang jahitan walaupun saya terpaksa menanti untuk pembedahan kedua mata. Saya tetap tidak sabar kembali aktif,” ungkapnya. Tafsiran yang mengatakan pesakit sepertinya tidak boleh ke mana-mana tidak tepat sama sekali.

Biar pun rawatan ini empat kali sehari dan juga terikat akan ketepatan waktu, ia bukanlah penghalang untuk Noorita pergi bersiar-siar bersama ibu dan kawan-kawannya. Pada Disember lalu, Noorita bersama ibunya berpeluang bercuti ke Singapura anjuran Baxter Healthcare (M) Sdn Bhd menerusi peraduan Dreamcather. Noorita berjaya disenaraikan tiga pemenang terbaik peraduan tersebut. Noorita membuktikan pesakit yang mendapat rawatan CAPD tidak memberi tekanan pada setiap pesakit jika diberi peluang dapat bercuti.

“Singapura adalah destinasi yang sememangnya menarik yang pastinya akan menguji kekuatan fizikal saya sebagai pesakit. Percutian akan jadi lebih menarik apabila saya ditemani insan tersayang. Ibu saya adalah insan yang perlu di dahulukan kerana sejak saya disahkan menghadapi kegagalan buah pinggang, ibulah peneman setia walau ke mana saya pergi tanpa rasa jemu apatah lagi merungut. Ibu tidak akan ke mana-mana kerana risau tentang kesihatan saya,” jelasnya.

Ibunya ibarat doktor dan jururawat yang setia memberi tunjuk ajar dengan penuh kesabaran berdepan dengan pelbagai karenah pesakit.

Dalam pada itu, Noorita mengakui rawatan CAPD ini adalah rawatan yang cepat, mudah dan berkesan.

“Lebih banyak kebaikan daripada keburukan menggunakan kaedah ini. Rawatan ini memberi keupayaan untuk mengembara ke tempat-tempat menarik yang kita minati.

Apatah lagi selepas pertukaran air rawatan, pesakit akan berasa lebih bertenaga semula. Pastinya percutian akan menjadi memori terindah di samping insan yang kita sayangi dan sanjung tanpa ada rasa tekanan. Rawatan ini adalah yang paling memuaskan hasilnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: