Friday, January 15, 2010

Eksekutif kanan bank AS minta maaf

WASHINGTON - Tidak tahan dengan tekanan sebuah suruhanjaya khas Amerika Syarikat (AS), eksekutif-eksekutif kanan kelompok bank utama AS memohon maaf kelmarin kerana mengamalkan pendekatan berisiko sehingga menyebabkan negara itu dilanda krisis kewangan terburuk sejak Zaman Kemelesetan Ekonomi pada tahun 1930-an.

"Orang ramai kini marah," kata pengerusi Suruhanjaya Inkuiri Krisis Kewangan, Phil Angelides.

"Laporan berhubung keuntungan besar dan pembayaran bonus lumayan setelah empat bank utama menerima dana pentadbiran AS sebanyak beberapa bilion dolar ketika ramai keluarga di negara ini bergelut dengan masalah kewangan turut menjadikan rakyat semakin keliru," tambahnya.

Empat buah bank utama AS itu secara keseluruhan telah menerima pakej penyelamat berjumlah AS$100 bilion (RM333.9 bilion) membabitkan wang pembayar cukai tetapi dana itu dibazirkan untuk pembayaran bonus selain sejumlah besar pampasan kepada eksekutif bank.

"Kami memahami kemarahan kebanyakan penduduk negara ini," kata Ketua Eksekutif dan Presiden Bank of America, Brian Moynihan.

"Kami berterima kasih diatas bantuan dana milik pembayar cukai yang kami terima. Sepanjang AS dilanda krisis kewangan, kami sebagai penggiat industri perbankan mencetuskan banyak kerosakan," tambahnya.

Namun, Moynihan berkata, kebanyakan kakitangan mereka tidak bersalah berhubung krisis ekonomi yang menimpa AS dan mereka perlu diberikan pembayaran pampasan yang setimpal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: