Masa depan Carcosa Seri Negara yang sudah 111 tahun tersergam berhampiran Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur mungkin hanya akan tinggal kenangan.

PERNAH menjadi kediaman pemimpin British di Tanah Melayu, dua buah banglo itu mengalami transformasi dan menjadi penginapan mewah yang eksklusif sehingga 31 Disember lalu.
Selepas tarikh itu, nasibnya bergantung sepenuhnya kepada satu projek pembangunan semula yang sedang dirancang.
"Kami diberitahu bahawa kerajaan akan memberikan tender kepada sebuah syarikat yang berminat untuk membangunkan semula tapak itu, jadi kami tidak tahu apa akan terjadi kepada bangunan-bangunan lama itu," kata pengurus hotel Carcosa Seri Negara, Caroline Filtzinger.
Diuruskan oleh kumpulan hotel mewah GHM sejak tahun 2004, pihak pengurusan itu diberitahu oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) tentang keputusan kerajaan itu pada Oktober lalu.
Filtzinger mengakui lokasi bersejarah itu memerlukan pembaharuan tetapi deretan tetamu terus datang ke Carcosa dan mengadakan pelbagai majlis termasuklah acara popular iaitu minum petang di berandanya.

"Ia juga menjadi lokasi perkahwinan berkelas tinggi di negara ini. Ramai yang ingin meraikannya di bangunan bersejarah itu, terutama di lamannya. Jadi penutupan Carcosa adalah satu berita buruk."
Tambah Filtzinger, perniagaan utama hotel itu ialah menganjurkan majlis berbanding menerima penginap di 13 biliknya yang agak usang pada caj di antara RM1,100 hingga RM3,500 semalaman.
Gaya High Victorian
Carcosa Seri Negara meliputi kawasan seluas 16 hektar dengan lamannya bersambung dengan hutan sebelum membuka pemandangannya terus ke Taman Tasik Perdana di kaki bukit.
Pembinaan Carcosa bermula pada tahun 1896 oleh Residen British pertama di Tanah Melayu, Sir Frank Swettenham.
Kos keseluruhan pembinaan, termasuk bangunan, jalannya yang bersimpang-siur dan bangunan luar mencecah 67,300 dolar Negeri Selat - iaitu AS$13.9 juta (RM47 juta) mengikut nilai mata wang hari ini.

Pembinaannya disempurnakan pada tahun 1898. Rumah separa kayu itu dibina dengan gaya High Victorian, dengan berhiaskan rekaan yang menggabungkan tebar layar era Elizabeth dan tembok beranda era pertengahan di beberapa sisi rumah itu.
Di dalamnya, tersergam pintu masuk ke dewannya yang besar dan membenarkan pengudaraan maksimum. Silingnya yang mencecah bumbung pula bertonggakkan kayu panjang pada dinding-dinding, menimbulkan suasana seperti berada di dalam gereja.
Tingkapnya yang besar menyokong kekisi bersilang gaya Anglo-Saxon dengan bahagian atasnya dibumbungi bentuk kubah lanset dari era Regency.
Selepas Swettenham, Carcosa dihuni pula oleh pegawai tertinggi British dan pada 1913 kerajaan membina King's House, kini digelar Seri Negara di atas tanah itu, sebagai rumah penginapan sementara bagi Gabenor Negeri-Negeri Selat yang tinggal di Singapura.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menggunakan kedua-dua bangunan itu sebagai pusat perkumpulan pegawai mereka.
Menjelang tahun 1946, Carcosa kembali membawa fungsi asalnya. Pada 21 Januari 1948, di sinilah Raja-raja Melayu dan kerajaan British membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 dan menandatangani penubuhan Malaysia yang merdeka di lamannya pada 5 Ogos 1957.
Kenangan
Namun, pada 12 September 1956, Ketua Menteri Tanah Melayu yang kemudian menjadi Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, menyerahkan Carcosa kepada kerajaan British sebagai hadiah.
King's House kemudiannya dikembalikan kepada Malaysia dan dinamakan semula sebagai Seri Negara. Carcosa, bagaimanapun terus diduduki Pesuruhjaya Tinggi British.
Bekas guru, Rasammah Bhupalan, masih ingat malam yang penuh keanggunan di laman Carcosa pada awal 1960-an ketika bangsawan Anthony Head dan isterinya, Dorothea, tinggal di situ.
"Carcosa menganjurkan banyak majlis pada waktu itu. Sama ada secara formal ataupun tidak, anda akan merasa kagum dengan setiap acara yang dianjurkan," katanya.
"Lady Head sukakan burung dan saya masih ingat saat menikmati
![]() |
| TANGGA bergaya mewah. |
Pada awal tahun 1987, Carcosa diserahkan semula kepada Malaysia. Kerajaan kemudian memutuskan untuk menukar bangunan itu menjadi sebuah hotel bagi orang-orang ternama yang datang berkunjung.
Tetamu rasmi pertama hotel itu ialah Ratu Elizabeth II yang menghadiri mesyuarat Ketua Negara-Negara Komanwel.
Biarpun perancangan untuk dua bangunan itu masih belum jelas, ramai yang mengharapkan ia akan dikekalkan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: