Sunday, January 10, 2010

Bukan senang jadi isteri menteri

Sharifah Aziah gembira suaminya, Tan Sri Syed Hamid Albar masih diberi penghormatan walaupun tidak lagi bergelar menteri.




PUAN Sri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin lebih senang bergelar isteri sepenuh masa semasa suaminya, Tan Sri Syed Hamid Albar menjadi menteri.

Namun, hakikatnya beliau merupakan lulusan seni fesyen dari sebuah akademi fesyen di London yang membolehkan beliau memasuki dunia glamor itu.

“Minat saya terhadap bidang fesyen timbul sejak kecil lagi. Masa muda-muda dulu saya suka reka baju dan kain langsir sendiri.

“Selain menyukai bidang fesyen, saya juga minat melukis. Suami selalu puji hasil lukisan saya. Tapi kebolehan tersebut saya praktikkan di rumah sahaja selepas berkahwin.

“Bila dah ada anak, konsentrasi beralih sepenuhnya terhadap suami dan keluarga. Jadi bakat yang ada saya lupakan seketika. Kalau ada masa terluang, barulah saya buat.

“Saya tak menyesal malah bersyukur kerana dikurniakan bakat dan sebuah keluarga bahagia yang tidak semua orang memilikinya,” ungkap Sharifah Aziah, 58, ketika ditemui di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syed Hamid dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 1995, Menteri Luar (1999) dan Menteri Dalam Negeri dari Mac 2008 hingga April 2009.

Diplomasi

Ibu kepada enam cahaya mata ini merupakan seorang yang sangat mengutamakan keluarga. Baginya, keluarga sentiasa menjadi perkara paling penting dalam hidupnya.


SHARIFAH AZIAH pasti akan menemani ke mana sahaja suaminya, Syed Hamid pergi.


“Selagi urusan keluarga belum selesai, selagi itu hati saya tak akan tenang. Walaupun sentiasa sibuk mengikut suami bertugas dulu, anak-anak pasti diutamakan juga.

“Dan saya puas hati bila tengok anak-anak dah berjaya sekarang,” tuturnya yang enggan memanjakan anak-anak dengan kemewahan.

Wanita kelahiran Alor Setar, Kedah ini ternyata seorang yang sangat merendah diri. Ketika ditanya tentang perasaannya bergelar isteri kepada seorang menteri Kabinet dahulu, ringkas beliau menjawab:




“Tiada apa yang perlu dibanggakan sangat bila bergelar isteri menteri. Saya masih lagi seorang yang suka bergaul mesra dengan semua orang tanpa mengira siapa mereka.

“Jadi isteri menteri bukan senang. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian. Kita harus tunjukkan contoh kepada semua orang kerana kita dianggap role model pada masa itu.

“Kalau kita tak buat apa yang kita ajar pada orang maknanya kita hanya cakap kosong,” ujarnya.

Menurut Sharifah Aziah lagi, beliau sering membuat kajian mengenai etika seorang isteri menteri untuk dijadikan rujukan apabila berjumpa dengan isteri menteri-menteri luar negara.

“Sebagai isteri Menteri Luar dahulu, saya kena jaga percakapan dan tak boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Contohnya kalau kita pergi ke Indonesia, kita tak boleh cakap di Malaysia banyak orang gaji. Nanti mereka ingat kita merendah-rendahkan mereka.

“Kalau di Jepun pula, elakkan daripada bercerita tentang Perang Dunia Kedua kerana takut mereka akan terasa. Kita kena pandai berdiplomasi.

“Dalam masa yang sama, saya bangga dapat mempromosikan Malaysia dengan memakai songket dan batik,” ujar pengarang buku bertajuk Useful Tips for the Diplomat’s Wife ini. Buku itu ditulis beliau pada tahun 2006.


KELUARGA merupakan kunci kebahagiaan dalam hidupnya.


Sharifah Aziah sempat juga berkongsi detik-detik manis dan pahit sepanjang menemani suaminya ke banyak negara luar.

“Antara kenangan yang saya tak dapat lupakan ialah semasa kami dijemput untuk makan malam bersama Presiden Lebanon di rumahnya sendiri, bukan tempat yang lebih formal.

“Kami juga pernah melalui pengalaman pahit ketika dijemput untuk merasmikan sebuah kapal di Itali. Selepas balik ke bilik, kami dapati semua beg sudah terbuka manakala barang kemas dan wang saya hilang.

“Memang pihak hotel memberi ganti rugi, tapi nilainya tak sama dengan barang-barang yang hilang sebab semua koleksi tersebut telah lama saya simpan,” kenangnya.

Fesyen

Jika sesetengah orang sememangnya menginginkan barangan berjenama dan mahal, berbeza dengan Sharifah Aziah yang menolak untuk berbelanja lebih. Beliau lebih gemar berpakaian kasual semasa ke majlis-majlis.

“Bagi saya, yang penting ialah pakaian itu sesuai dengan diri kita. Tak perlu terlalu mahal atau terlalu berjenama, cukuplah sekadar ringkas tetapi menarik.

“Jangan sampai kita jadi mangsa fesyen. Yang tak sesuai pun kita cuba muatkan juga,” ujarnya yang turut berkebolehan dalam seni jahitan.


MAJLIS perpisahan Syed Hamid sebagai Menteri Dalam Negeri di Pulapol Jalan Semarak pada 15 April 2009.


Berbicara tentang kehidupannya kini, Sharifah Aziah berkata: “Saya bersyukur kerana walaupun suami sudah bersara, saya tetap mempunyai ramai kawan dan kenalan.

“Malah setiap kali kami keluar ke mana-mana, pasti ada yang akan mengucapkan tahniah kepada suami kerana menjalankan tanggungjawab yang baik terhadap negara.

“Rasa tersentuh bila orang kenang apa yang kita buat. Memang gembira bila kita dapat penghormatan daripada orang.

“Saya akan sentiasa menyokong suami saya dalam apa sahaja yang beliau lakukan,” tuturnya yang kini giat mengarang artikel untuk dijadikan sebagai jurnal bergambar.

Anak Sharifah Aziah, Sharifah Nurzaimah, 31, pula berasa sangat beruntung kerana memiliki seorang ibu yang penyayang dan sentiasa memberikan kasih sayang tanpa membezakan mereka adik-beradik.

“Beliau merupakan seorang ibu yang penyayang, lemah-lembut dan prihatin terhadap kami sekeluarga. Kasih sayang yang beliau berikan kepada kami semua tiada batasannya,” ujar anak keempat daripada enam adik-beradik ini.

Bukan itu sahaja, kata Nurzaimah lagi, ibunya juga menyayangi cucu-cucunya sehinggakan adakalanya mereka memanggilnya ‘mum atau mummy’ kerana sifat keibuannya yang tinggi.


SELAIN memiliki sifat keibuan yang tinggi, Sharifah Aziah turut meminati kucing peliharaan.


“Apatah lagi kasih sayang dan prihatinnya kepada ayah. Ibu sangat mengambil berat tentang ayah. Dia sentiasa ada di sisi ayah untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang.

“Perkahwinan mereka sudah pun menjangkau usia 42 tahun, tapi kasih sayang dan cinta mereka tidak pernah pudar.

“Selain itu, kami juga sungguh bangga dengan keistimewaan ibu yang dipilih oleh butik Jendela Batik sebagai pereka untuk Pertunjukan Fesyen Jendela Batik pada Oktober 2009.

“Saya selalu ingin menjadi seperti ibu. Dialah ikon saya. Bagi saya dialah ibu yang terbaik di dunia,” luah Nurzaimah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: