
![]() |
| KEBIMBANGAN Noryn untuk beraksi di Dewan Filharmonik terhapus sebaik mendapat sambutan hangat peminatnya. |
Namun, melihat jumlah penonton serta sokongan yang diberikan pada malam persembahan 12 Januari lalu, Noryn sebenarnya tidak perlu terlalu risau.
Bukan sahaja dewan itu dipenuhi peminatnya, Noryn melakukan tugas baik menghiburkan setiap hadirin.
Buktinya, audiens bukan sahaja menyanyi bersama tetapi juga pulang dengan senyuman. Ternyata persembahan selama satu jam 40 minit tidak mencukupi.
Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 33, tampil menawan dalam dua busana rekaan Bill Keith serta aksesori Lazare Diamonds sumbangan DeGem.
Muncul tepat pada pukul 9 malam, Noryn membuka tirai dengan lagu Lady Sings The Blues dan Feelin' Good.
"Saya amat berbangga untuk berada di sini dan membuat persembahan di Dewan Filharmonik. Kehadiran anda semua amat bermakna buat saya serta karier saya," ucap Noryn pada konsert yang disertai 11 pemuzik termasuk Eric Li sebagai pengarah muzik.
Disebabkan masa yang terhad, Noryn telah memilih untuk menyampaikan lagu-lagu dalam album Alam Maya secara medley. Antaranya termasuk Alam Maya, Make It On My Own, Lara dan Kembalikan.
Walaupun banyak menyampaikan lagu yang sudah dekat di hati pendengar, Noryn mengambil risiko untuk mendendangkan lagu terbarunya, Kesungguhan Cinta dan Izinkan Aku.
Sungguhpun kedua-dua lagu itu asing bagi telinga peminatnya, namun, ia tidak sukar untuk jatuh cinta pada pendengaran pertama.
Mengejutkan audiens dengan penyanyi undangan di pertengahan persembahan, Noryn telah menjemput pemenang program realiti Idola Kecil
Siti Amirah Dayana.
Terlebih dahulu menyampaikan medley jazz, Misty, My Funny Valentine dan All Of Me, Dayana muncul dengan lontaran lagu Somewhere Over The Rainbow dan L.O.V.E.
Meraih tepukan gemuruh, Noryn sekali lagi memberikan kejutan apabila berduet dengan Joe Flizzow dengan menyampaikan lagu Bila Bila Saja.
Sudah lama mengimpikan peluang untuk beraksi di Dewan Filharmonik, Noryn menafikan bahawa konsert itu merupakan kemuncak kerjayanya tetapi satu permulaan baginya.
"Ia bukan lagi kemuncak karier saya. Tapi ia pastinya salah satu memori manis sepanjang perjalanan kerjaya saya. Ini merupakan permulaan saya sebagai penyanyi dan mencatatkan babak baru dalam hidup saya," ujar penyanyi jelita itu yang turut memiliki album berjudul Fantasi O Realiti.
Meneruskan persembahan dengan salah satu lagu kegemarannya, I'm Alright, Noryn juga menghiburkan penonton dengan lagu Love For Sale dan Cerita Cinta.
Mengambil penyanyi jazz tersohor Ella Fitzgerald, Jill Scott dan Erykah Badu sebagai sumber inspirasi, Noryn turut meminati Stevie Wonder dan Quincy Jones.
"Sudah 10 tahun saya menyampaikan lagu jazz kerana saya berpendapat muzik jazz amat istimewa. Ella Fitzgerald, Jill Scott dan ramai lagi penyanyi jazz yang memberikan inspirasi kepada saya. Mereka telah memberikan saya impian serta harapan untuk menjadi penyanyi jazz. Itulah sebabnya mengapa saya berada di sini malam ini," katanya.
Menutup tirai dengan dua buah lagu popular, Get Here dan Masquenada, Noryn mengajak penonton menari bersama sebelum beranjak pulang.
Keterujaan audiens ditambah apabila berpeluang untuk bergambar serta mendapat autograf Noryn selepas selesai konsert.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: