Monday, January 25, 2010

Askar Wataniah dibayar elaun bukan pencen

KUALA LUMPUR - Anggota angkatan sukarela atau dikenali sebagai Askar Wataniah yang dikerah berkhidmat sepenuh masa hanya layak dibayar Elaun Tamat Perkhidmatan Mobilisasi (ETPM) bukannya pencen dan ganjaran perkhidmatan.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelaskan, angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa di dalam jawatan tetap iaitu sekurang-kurangnya 21 tahun dan kemudiannya diserap ke dalam angkatan tetap boleh diberi pencen dan ganjaran perkhidmatan.

"Kebenaran pemberian pencen dan ganjaran perkhidmatan kepada angkatan sukarela itu perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas siaran akhbar Selasa lalu iaitu bekas Askar Wataniah yang berkhidmat sepenuh masa selama lebih 21 tahun bakal mendapat durian runtuh apabila kerajaan bersetuju membayar tunggakan pencen mereka.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, peruntukan yang diluluskan tahun lalu itu akan disalurkan kepada mereka yang terlibat mulai tahun ini.

"Pemberian pencen ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan membantu dan menghargai jasa bekas-bekas Askar Wataniah yang berkhidmat secara sepenuh masa mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Sehubungan itu, saya menyeru mereka yang layak supaya tampil mengemukakan permohonan beserta dokumen lengkap bagi memudahkan proses tuntutan," kata Muhammad.

JHEV turut berharap agar pihak-pihak tertentu tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: