Gambit Saifullah bagaikan bermimpi apabila namanya tersenarai dalam Top 5 ABPBH2009
DIA tidak pernah meletakkan dirinya sebagai popular atau dikenali ramai. Malahan selepas hampir lima tahun membabitkan diri dalam dunia lakonan, Gambit Saifullah terasa seperti di alam mimpi apabila dimaklumkan bolos dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 baru-baru ini.
Ia memang mengejutkan kepada empunya badan. Kalau mahu diukur pada populariti, memang pesaingnya iaitu Aril, Akim, Hafiz dan Black jauh lebih menyerlah menerusi pertandingan realiti nyanyian.
Bagaimanapun watak yang dipegangnya di dalam filem itu tidak menggunakan suaranya sendiri. Filem itu dibuat pada tahun 2006 dan hanya ditayangkan pada 2008. Anak muda berusia 25 tahun itu kemudian diambil Kabir Bhatia untuk membintangi filem Cinta, dan kemudian beraksi dalam filem Rasukan Ablasa arahan Prof A Razak Mohaideen.
"Saya tidak menyangka apabila dihubungi penganjur untuk menghadiri sidang media mengumumkan senarai akhir ABPBH2009. Secara jujur tiga filem itu belum mampu membuatkan saya dikenali dan diingati. Saya amat terkejut dan tergamam dengan pencalonan Top 5 ini tapi dalam masa yang sama saya menghargai pengundi terutamanya peminat yang sudi memilih saya.
"Selama ini pun saya tak terlalu menonjolkan diri kerana apa yang saya lakukan atas dasar minat. Cuma secara kebetulan tahun lalu, filem Rasukan Ablasa yang sudah terperuk lama baru ditayangkan.
"Tahun lalu juga, saya ada terbabit dalam telefilem dan drama seperti Suara Dari Kubur, Patahnya Sayap Malam, Ulat Ulat Cinta dan Tanggang. Melihat kepada persaingan, memang terlalu tipis untuk saya menang. Tapi saya teruja berada dalam kelompok calon terakhir," katanya.
Sudah lama menyedari kewujudan anugerah anjuran Berita Harian itu, Gambit tahu elemen populariti itu penting namun ia sewajarnya diseimbangkan dengan bakat. Sambil berseloroh, dia memberitahu nak popular itu senang, namun untuk mengekalkannya yang sukar.
"Nak jadi popular itu bukan susah sangat dan pelbagai cara boleh dilakukan termasuk mencipta kontroversi. Berlakon banyak drama pun antara satu strategi untuk membuatkan diri popular. Tapi niat berada dalam seni bukan semata-mata untuk dikenali, namun untuk berkarya.
"Cuma kini pada akhirnya, saya tidak boleh menidakkan populariti itu menjadi penyumbang terbesar kepada kerjaya seseorang artis. Ia seperti satu resipi, kalau tiada gula (popular) kenalah letakkan gula sebagai pemanis sedikit dalam ramuan minuman atau makanan," kata Gambit yang turut berlakon dalam filem Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki.
Bergelar penerbit, pengacara TV
DEMI kelangsungan kerjayanya, Gambit bijak mencuri ruang yang terbentang di depan mata dengan menubuhkan syarikat produksi bernama Eightball Production Sdn Bhd. Syarikat itu bakal genap tiga tahun April depan. Program 13 episod diberi nama The Hoppers & Ahli Muzik menjadi terbitan pertamanya yang disiarkan di 8TV dua tahun lalu.
Malahan menerusi program itu, selain bergelar penerbit, Gambit turut menggalas tugas sebagai pengarah dan pengacara. Beberapa deretan projek mendatang sedang dirangka termasuk menghasilkan video korporat beberapa buah syarikat.
"Apa yang saya lakukan semuanya untuk kepuasan diri. Saya ingin terbabit dalam telefilem, drama atau filem yang bukan semata-mata berlandaskan komersial sebaliknya masih tebal dengan nilai seni.
"Kalau penonton dan penggemar karya tempatan tidak mahu menonton sesebuah karya tempatan pun tiada gunanya. Filem Cinta yang pernah saya lakonkan boleh saya katakan sebagai filem seni dan komersial. Begitu juga dengan filem Anak Halal," katanya yang mungkin akan bergelar pengarah filem suatu hari nanti.
Pepatah Inggeris ada menyebut jangan menilai sesebuah buku berdasarkan luaran kulitnya saja dan pepatah itu juga sesuai diberikan kepada peribadi Gambit. Sekali pandang, memang dia seperti sukar didekati.
Namun, apabila berbual panjang dengannya pasti mengubah persepsi sebenarnya mengenai peribadi sebenar pelakon ini. Pastinya juga setiap butir bicara yang dilontarkan akan turut terselit falsafah menarik. Lumrah sesetengah manusia juga mudah menghukum sesuatu tanpa pertimbangan nyata.
"Tak saya nafikan jika orang yang tidak kenal, memang akan cakap saya sombong. Dulu mungkin saya akui jiwa muda terlalu tebal hingga saya tidak mempedulikan apa yang difikirkan orang lain.
"Tapi kini seiring dengan peningkatan usia dan kematangan diri, saya sentiasa bersikap terbuka. Mungkin juga air muka dan rupa saya nampak sombong. Itu memang sudah tidak dapat diubah lagi. Tapi sebaiknya, kenalilah saya dulu sebelum menilai sebarang fahaman," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: