![]() |
Marissa Yasmin tidak kisah kurang glamor
SUASANA yang mana populariti agak kurang menonjol tetapi masih dapat banyak peluang berlakon, bukanlah sesuatu yang dianggap pelik. Malahan, ada sesetengah pelakon atau penyanyi kita yang tidak ambil kisah soal glamor, asalkan tidak rezeki sentiasa tidak putus dan itulah yang penting.
Ada juga yang bertuah kerana menerima publisiti tanpa henti. Sesekali kisah kontroversi yang terpalit mungkin disifatkan sebagai nilai tambah menghangatkan lagi kewujudannya dalam persada seni. Ia memang bersifat umum. Begitu juga bagi Marissa Yasmin yang lebih selesa bersikap ‘low profile’.
Bagi pelakon berusia 32 tahun ini, dia tidak pernah terasa hati pun sekalipun namanya kurang meniti bibir masyarakat. Malah akui pelakon tinggi lampai, namanya memang tidak cukup kuat berbanding karakter yang sering diamanahkan kepadanya.
“Saya juga sering dikelirukan dan dibayangi dengan nama pelakon seperti Norish Karman dan Maya Karin. Itu antara maklum balas apabila saya berjalan di depan khalayak. Mungkin saya selesa untuk tidak terlalu dikenali dan nampak ‘misteri’.
“Bagi saya setiap pelakon atau artis yang menceburi bidang seni ini, ada cara untuk memasarkan dirinya. Walaupun belum berpeluang menggondol anugerah, sudah cukup sempurna apabila penonton dapat merasai karakter yang dimainkan.
![]() |
“Popular atau tidak, ia bukan satu isu di sini. Bukan maksud ia tak penting, tetapi saya puas dengan apa yang dilakukan,” katanya yang ditemui Hip sewaktu pelancaran kuiz drama Lara dan Milik Siapa Hati Ini terbitan Eurofine Sdn Bhd baru-baru ini.
Mula melangkah persada seni pada 2000, Marissa pernah dalam masa yang sama berhenti buat seketika dan bertugas sebagai pramugari serta bekerja di syarikat milik ayahnya. Namun, kini kerjaya lakonan sudah menjadi sepenuh masa.
Dia juga sering diberi kepercayaan untuk membawa watak ‘orang tua’, namun ia sedikit pun tidak menjadi masalah atau bebanan buat dirinya. Kata Marissa, dengan kemunculan banyak bakat baru yang lebih muda dan agresif, mungkin peluang untuk dirinya memegang watak utama atau ‘orang muda’ agak terhad.
“Hampir kebanyakan drama mahupun telefilem yang membabitkan saya kini, watak yang diterima lebih kepada watak menjadi ibu, kakak atau mak cik. Saya tak kisah, mungkin juga perawakan wajah saya lebih sesuai untuk watak sebegitu. Malah ada juga yang melihat wajah saya lebih bersifat keibuan.
![]() |
| EIZLAN Yusof gandingan sulung Marissa dalam Lara. |
“Drama seperti Dua Hati, Afi dan Abah, Jelatang dan terbaru Lara ini juga menuntut komitmen penuh saya merealisasikan watak sedemikian. Saya juga harus berterima kasih kepada Eurofine kerana senantiasa membuka peluang untuk saya berlakon,” katanya.
Nak kahwin
Bercakap mengenai kisah peribadi, Marissa yang ketika sidang media pelancaran dua drama terbabit hadir ditemani seorang lelaki hujung 30-an. Malah ketika diajak berbual mengenai lelaki itu, Marissa tidak cuba berselindung sebaliknya mengakui berkawan baik dengan gerangan yang dimaksudkan itu.
“Kami masih dalam peringkat mengenali hati budi. InsyaAllah kalau ada jodoh, saya akan berkongsi hidup dengannya. Dia bekerja dalam bidang yang terarah kepada perniagaan. Kami mula rapat pada tahun ini. Tapi dalam soal mencari kebahagiaan kita tak mampu menduga di mana pengakhiran sesebuah hubungan yang terjalin. Yang mutlak bagi saya ialah kebahagiaan diri sendiri lebih penting,” jelas Marissa.
Tambahnya lagi, soal usia bukan tekanan utama apabila menyentuh soal berkahwin. Katanya, berkahwin bukan untuk sehari dua. Dia sendiri tidak sanggup memperjudikan kehidupannya dalam mengharapkan sebuah jaminan ikatan perkahwinan.
“Tapi biasalah apabila kita bercampur gaul dengan sanak saudara dan rakan sebaya yang sudah mempunyai ramai anak, sedikit sebanyak hati saya sebagai wanita mula terasa untuk menikmati hidup yang sama seperti mereka. Mencari calon suami bukan semudah yang disangka.
“Ciri penting yang saya titik beratkan dalam mencari lelaki idaman ialah keimanan. Daripada keimanan itu, ia akan terus berkembang. Dalam perkahwinan, saya mahu memiliki lelaki yang mampu membimbing saya dan sama-sama mengharungi perjalanan kehidupan baru itu sebaik mungkin,” kata Marissa yang turut berlakon dalam drama Senja Permai di Astro Prima.
Selain itu, dalam drama bersiri Lara arahan Haizul Anafar Ali, Marissa berkata, ini adalah pertama kali dia digandingkan dengan Eizlan Yusof. “Dia (Eizlan Yusof) begitu serasi dengan saya. Malah kami senang bertukar pandangan dan idea untuk memantapkan babak yang membabitkan kami,” katanya yang pernah berlakon filem Janji Diana dan menunggu tayangan filem keduanya, Hopperz.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: