Sunday, January 3, 2010

Aizat terbang tinggi

Jauh lagi perjalanan saya dan banyak lagi pengalaman hidup yang kena saya kutip. Saya mahu melihat dunia dahulu sebelum memberi komitmen kepada seorang perempuan




DUA tahun perjalanan yang dilalui Muhammad Aizat Amdan atau Aizat untuk berada pada tahap sekarang - popular dan mencetus fenomena tersendiri. Tempohnya nampak singkat.

Kata banyak orang, tuah Aizat memang bergolek-golek. Lahir daripada keluarga senang, pintu rezeki buatnya terbuka di mana-mana. Tapi tahukah khalayak di sebalik tuah dan sokongan keluarga, penyanyi ini membekalkan dirinya sendiri sebuah kerja keras.

Tanpa kerja keras, sesiapa pun tidak akan berjaya. Biar kaya raya, andai tidak membantu diri sendiri untuk berusaha dan jadi manusia yang lebih baik, maka tidak akan bergerak parameter seseorang itu.

Itu yang ditegaskan oleh Aizat pada pertemuan kami Isnin lalu.

"Saya tahu banyak orang berkata begitu (kerana dia anak orang kaya, laluan terbuka mudah). Alhamdulillah, saya bersyukur kerana memang ibu bapa saya sangat menyokong saya selama ini.

"Tapi kalau hanya dengan menggunakan mereka dan saya sendiri tidak berusaha, saya pun tidak akan berada di sini.

"Saya berusaha keras untuk berada pada tahap ini kerana saya cintakan apa yang sedang saya lakukan sekarang," katanya serius sambil menolak persepsi dirinya pencetus fenomena baru.

Sebaliknya tutur Aizat penuh semangat: "Waktu itu saya hanya mahu mencari identiti yang lain daripada lain. Jadi, waktu itu saya fikir untuk muncul sebagai penyanyi dan penulis lirik sekali gus dan hadir di atas pentas dengan gitar. Percubaan itu nyata menjadi."

Aizat saya panggil ke studio untuk menjadi penghias sulung Sensasi Bintang pada tahun 2010 kerana piawaiannya dalam kerjaya cukup memberangsangkan.


AIZAT membuka tirai 2010 dengan pencalonannya dalam AJL 24 pada 10 Januari ini sebelum masuk ke Istana Budaya untuk konsert perdananya nanti.


Bagi penggemar Akademi Fantasia (AF), mereka tahu Aizat pada usia 18 tahun membina tapaknya di program realiti tersebut. Dia juga diingati kerana sosok tubuh yang gempal dan digemari khalayak kerana dirasa comel.

Tidak diangkat sebagai juara, terkeluar daripada AF musim ketiga (AF3), Aizat setahun kemudian keluar daripada kepompongnya dengan sebuah transformasi.

Tinggi dia terbang melewati awan, melintasi pelangi. Kini pada usia baru mencecah 21 tahun, dalam tempoh dua tahun sahaja, Aizat yang muncul dengan lagu debut, Percubaan Pertama meraih sukses luar biasa.

Begitulah Aizat, masih ramah seperti selalu. Senyumnya manis dan ikhlas. Terkesan komunikasinya bertambah yakin berbanding setahun lalu. Barangkali pengalaman dan perjalanan yang dilaluinya selama dua tahun menjadi anak seni memberi kesan kepadanya.

Kali ini juga, lebih jelas Aizat memperlihatkan antusias terhadap muzik. Dia tampak seperti sudah kukuh untuk bertempur dalam medan seni.

Malah, katanya juga, dia tidak berseni untuk diri sendiri, sebaliknya mempunyai misi untuk membantu menaikkan semula reputasi muzik Malaysia yang semakin sepi.




"Alhamdulillah, perjalanan seni saya agak baik. Macam saya katakan tadi, barangkali kerana kerja keras dan cinta saya pada seni.

"Sepanjang tahun lalu, saya tidak mempunyai waktu cuti yang panjang. Jika tiada persembahan, saya akan berada di studio menyiapkan kerja-kerja saya.

"Kadang-kadang saya tak rasa letih atau berasa sedang bekerja kerana saya suka lakukan apa yang saya jalani sekarang. Saya sayang kerjaya saya dan saya mahu lakukan ia dengan bersungguh-sungguh.

"Bukan untuk saya seorang, tapi untuk industri seni kita. Saya berharap dengan lebih banyak lahirnya bakat muda seperti saya, kita dapat menyelamatkan muzik kita daripada terus mati," tegasnya.

Prihatin terhadap dunia

Percaya bahawa personaliti yang baik banyak membantu menaikkan kredit dirinya, untuk 2010, anak muda ini sedang mempersiapkan dirinya dengan album kedua.

Sudah merakamkan dua buah lagu, ada lapan buah lagu lagi yang menanti untuk direkodkan. Semuanya masih mendapat sentuhan magis dia dan abangnya.

"Tapi sebenarnya saya tak kisah juga untuk mengambil lagu daripada komposer lain. Hanya ia harus selari dengan konsep pop bebas saya," tuturnya yang mengambil inspirasi muzik daripada band-band British dan Amerika Syarikat termasuk Coldplay, Casablanca dan The Killers.

Namun, kata Aizat, isi album kali ini juga tidak mempunyai persamaan dengan lagu berhantunya, Hanya Kau Yang Mampu. Biar ada mengandungi lagi balada atau sentimental, ia lebih terarah kepada keprihatinannya terhadap dunia.

Dia mahu lari daripada konsep sebegitu dan terus meneroka jauh bereksperimentasi dengan muzik.

"Saya tidak suka statik pada satu muzik. Sehingga saya puas dengan eksperimen muzik saya, mungkin saya akan kembali kepada asal dan melahirkan lagu-lagu seperti Hanya Kau Yang Mampu semula," ucapnya lagi.

Sekadar meminta pandangannya terhadap kemunculan lebih banyak bakat baru yang lahir daripada program realiti sepertinya kelak terutama apabila AF musim baru akan menyusul, Aizat menggariskan, seseorang artis itu perlu memiliki pengetahuan tentang muzik.


AIZAT mempunyai misi yang besar dalam industri seni tempatan.


"Mereka sekurang-kurangnya boleh bermain satu instrumen sebagai bekalan dalam bidang seni.

"Bila ada asas, insya-Allah dengan kerja keras, kita akan berjaya," ujarnya yang boleh bermain gitar dan piano serta suka belajar tentang muzik untuk mempertingkatkan pengetahuannya.

Wanita, jangan berpura-pura matang

Menginjak usia 21 tahun, saya tanyakan pada Aizat adakah dia takut akan anjakan usianya kini. Apa yang ingin diperbetulkan dan bagaimana dimensi hidupnya saat masuk usia 21 tahun pada 21 Januari depan.

Tapi kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia hanya mahu menjadi diri sendiri, tidak berpura-pura matang atau cuba mendewasakan diri sebelum tiba masanya.

"Saya hanya mahu menjadi diri sendiri. Saya tak mahu mengikut orang lain atau pura-pura jadi matang kerana saya percaya terhadap apa yang Tuhan tentukan. Jadi saya ikut aliran itu," akuinya sambil tersenyum.

Sementara mengajak Aizat berbicara tentang wanita, pantas penggemar vokalis Julian dari Casablanca ini memberi respons yang serupa, wanita jangan suka berpura-pura matang.

Menurutnya, banyak wanita yang suka tampak matang hanya kerana usia masuk 21 tahun dan terlupa menjadi diri sendiri. Pada persepsi Aizat, wanita itu cukup jika punya pendirian dan tahu diri.

Ditebak adakah ciri punya pendirian dan tahu diri itu ada dalam diri pelakon Liyana Jasmay yang kini cukup akrab dengannya, Aizat memberitahu, Liyana merupakan seorang teman yang baik dan sempoi.

Malah saat ditanya tentang cinta, tanpa berselindung Aizat menghuraikan bahawa menjadi seorang lelaki yang masih muda, dia mengelak untuk memiliki komitmen dengan seorang wanita secara serius.

Katanya: "Jauh lagi perjalanan saya dan banyak lagi pengalaman hidup yang kena saya kutip. Saya mahu melihat dunia dahulu sebelum memberi komitmen kepada seorang perempuan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: